Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Menteri-di-Jabatan-Perdana-Menteri




YANG BERHORMAT PEHIN DATU LAILARAJA MEJAR JENERAL (B) DATO PADUKA SERI HAJI AWANG HALBI
BIN HAJI MOHD YUSSOF


MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERTAHANAN II


Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 7 Jun 2022.

Yang Berhormat Pehin bertanggungjawab sebagai Pengerusi jawatankuasa-jawatankuasa di bawah bidang kuasanya, yang mana termasuk Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam dan Pengerusi Lembaga Penasihat Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB). Di samping itu, beliau juga pada masa ini memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hasssanal Bolkiah, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim dan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB). Beliau juga merupakan Menteri Yang Bertanggungjawab ke atas Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dan Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA).

Sebelum ini, Yang Berhormat Pehin telah memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan II, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Timbalan Menteri di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Yang Berhormat Pehin juga pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia. Selain dari itu, didalam tempoh 35 tahun perkhidmatan didalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Yang Berhormat Pehin telah menjawat jawatan sebagai Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) mulai Mac 2003 sebelum bersara daripada perkhidmatan tentera pada 31 Disember 2009.

Disepanjang perkhidmatan Yang Berhormat Pehin, beliau telah dianugerahkan beberapa Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormatan di dalam dan di luar negara. Antara Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam yang dianugerahkan kepada beliau ialah:

1986
Bintang Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei (SMB – Darjah Ketiga)
1996​​
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyampiri gelaran ‘Pehin Manteri’ yang membawa gelaran nama ‘Pehin Datu Lailaraja’
2003
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan gelaran ‘Bintang Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang (DPKT - Darjah Pertama)’ yang membawa gelaran ‘Dato Paduka Seri’
2010
Pingat Hassanal Bolkiah Sultan (Pangkat Pertama)


Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dilahirkan di Negara Brunei Darussalam pada 22 Jun 1956. Yang Berhormat Pehin telah berkahwin dengan Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili dan telah dikurniakan dengan lima (5) orang anak dan lima (5) orang cucu.

Yang Berhormat Pehin di masa lapang selain dari membaca buku beliau gemar melakukan aktiviti riadah seperti hiking, bermain golf dan memancing.