Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksNews

  
Body
  
  

hm_200122.jpg

Negara Brunei Darussalam mencatat satu lagi sejarah penting pada hari ini yang akan menjadi ristaan zaman-berzaman apabila Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi sah bergelar suami kepada Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan sekali lafaz pada Majlis Istiadat Akad Nikah Pengantin Diraja yang diadakan dengan penuh beristiadat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke istiadat berkenaan dengan didahului oleh Penglima Diraja yang membawa Pemuras dan Karga, sementara Penglima Asgar membawa Kelasak dan Kampilan serta diiringi oleh Pembawa-Pembawa Alat-Alat Perhiasan Tunggal, Perhiasan Empat Duli Yang Teramat Mulia-Duli Yang Teramat Mulia dan Perhiasan Empat Duli-Duli Wazir.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berserta kerabat diraja.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Terdahulu, istiadat bermula dengan ketibaan Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi diiringi oleh pengiring yang ditentukan dan dikepalai oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong dengan didahului oleh 12 Sinipit, diikuti oleh Alat-Alat Kebesaran Diraja yang dibawa oleh Awang-Awang, terdiri daripada enam Pedang dan Perisai, enam Tumbak Bendarangan dan empat Kabok dan Panastan.

Istiadat seterusnya menyaksikan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Yusof menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja telah siap sedia, diikuti dengan YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris kemudiannya menyembahkan perkara tersebut ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menitahkan supaya Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja dimulakan.

Seterusnya, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar mengadap ke hadapan majlis Kebawah DYMM bersama dua orang Awang-Awang, seorang membawa tempat menandatangani Borang Nikah dan seorang lagi membawa Gangsa tempat menyimpan alat tulis dan seterusnya mereka duduk di tempat yang ditentukan.

Kebawah DYMM kemudiannya menitahkan supaya Yang Berhormat Pehin untuk menyempurnakan Akad Nikah.

"Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een. Dengan bertawakal kepada Allah, kaola mewakilkan kepada Pehin untuk menikahkan anak perempuan kaola, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dengan maharnya BND1,000," titah Kebawah DYMM.

Sejurus selepas itu, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim kemudiannya berdatang sembah ke hadapan majlis Kebawah DYMM dan seterusnya menyembahkan Borang Nikah ke hadapan majlis Kebawah DYMM untuk ditandatangani oleh baginda.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim seterusnya menjunjung kurnia perkenan Kebawah DYMM untuk memulakan Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja dengan membaca Khutbah Nikah dan seterusnya lafaz ijab dan kabul.

Sebaik sahaja lafaz kabul diucapkan oleh Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi disahkan, sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan sebagai menandakan Akad Nikah Diraja telah sempurna dilaksanakan.

Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi kemudian menandatangani Borang Nikah, diikuti oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim berserta empat orang saksi.

Sejurus selepas itu, lafaz Ta'liq dibacakan oleh Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi, diikuti dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan seterusnya menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja telah sempurna dilaksanakan, diikuti dengan YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris kemudiannya menyembahkan perkara tersebut ke hadapan majlis Kebawah DYMM.

Kebawah DYMM kemudiannya menitahkan supaya majlis ditutup.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto



His Majesty News
  

hm_190122.jpg

Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja di antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi berlangsung dengan penuh adat istiadat dan gilang-gemilang di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, di sini. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja. 

Dalam Majlis Istiadat Berbedak itu, baginda berdua berkenan menculiki Bedak Diraja kepada Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi yang berlangsung secara berasingan di tempat yang sama. 

Berangkat dan seterusnya berkenan menculiki Bedak Diraja pada istiadat itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah; dan Yang Mulia Puan Hajah Mariam binti Haji Abdul Aziz. 

Juga menculiki Bedak Diraja ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam. 

Istiadat Menculiki Bedak Diraja juga termasuk kedua-dua ayahanda dan bonda Pengantin Diraja Lelaki, Yang Mulia Awang Nabil Mahmoud Abdulkadir Al-Hashimi dan Yang Mulia Dayang Hana Mohamed Yonis. 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Yusof menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Majlis Istiadat Menjunjung Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah telah siap sedia. 

Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris kemudian menyembahkan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian menitahkan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; isteri Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham; isteri Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew; isteri Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja; isteri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar; isteri Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja; isteri Yang Amat Mulia Pengiran Kerma Raja; isteri Yang Amat Mulia Pengiran Ratna Wijaya; dan isteri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja menjunjung Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah berangkat ke Balai Singgahsana Indera Buana. 

Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah di Balai Singgahsana lndera Buana diapit oleh Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dengan didahului 40 Sinipit yang dibawa oleh Awang-awang, diikuti oleh Yang Mulia Juru Bini Dayang Hajah Rokiah dan dua orang Hulubalang, Hulubalang Diraja membawa Pemuras dan Karga dan Hulubalang Asgar membawa Kelasak dan Kampilan, sebatang Dian Tunggal dibawa oleh Dayang-dayang dengan diiringi oleh Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Dayang Hajah Aminah dan Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Dayang Hajah Siti serta diikuti oleh Perhiasan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah yang dibawa oleh tiga orang Dayang-dayang, seorang membawa Payung, seorang membawa Kaskol dan seorang membawa Kain Pendukungan, Isteri-isteri Pembesar Negara yang dititahkan, tujuh orang Pahawai Perempuan yang memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol dan Dian 16 yang dibawa oleh 16 Dayang-dayang serta Alat-alat Kebesaran Diraja terdiri daripada 16 Pedang dan Perisai, 16 Tumbak Bendarangan dan lapan Kabok dan Panastan yang dibawa oleh Awang-awang. 

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah kemudiannya duduk di tempat yang dikhaskan. 

Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja dimulakan dengan didahului oleh alunan Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban). Sebaik sahaja Dikir sampai pada perenggan 'Ya Habibi', Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menculiki Bedak Diraja kepada Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, yang memperlihatkan keunikan adat istiadat diraja, diikuti oleh tembakan meriam sebanyak 17 das sebagai menandakan bermulanya Istiadat Berbedak Pengantin Diraja. 

Istiadat Menculiki Bedak Diraja diikuti oleh Kerabat Diraja, termasuk ayahanda dan bonda Pengantin Diraja Lelaki.

Setelah selesai Istiadat Berbedak Pengantin Diraja, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah berangkat dari Balai Singgahsana Indera Buana dengan diiringi oleh Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna. 

Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dari Balai Singgahsana Indera Buana didahului oleh sebatang Dian Tunggal dibawa oleh Dayang-dayang dengan diiringi oleh Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Dayang Hajah Aminah dan Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Dayang Hajah Siti serta diikuti oleh Perhiasan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah yang dibawa oleh tiga orang Dayang-dayang, seorang membawa Payung, seorang membawa Kaskol dan seorang membawa Kain Pendukungan, Isteri-isteri Pembesar Negara yang dititahkan, tujuh orang Pahawai Perempuan yang memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol dan Dian 16 yang dibawa oleh 16 Dayang-dayang serta Alat-alat Kebesaran Diraja terdiri daripada 16 Pedang dan Perisai, 16 Tumbak Bendarangan dan lapan Kabok dan Panastan yang dibawa oleh Awang-awang. 

Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja diteruskan bagi Pengantin Diraja Lelaki, Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi. 

Ketibaan Pengantin Diraja Lelaki, Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi ke dalam majlis tersebut diapit oleh Yang Mulia Pengiring yang ditentukan dengan didahului oleh 12 Sinipit yang dibawa oleh Awang-awang, sebatang Dian Tunggal dibawa oleh Awang-awang dengan diiringi oleh Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin dan Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman diikuti oleh Pengiring-pengiring yang ditentukan, tujuh orang Pahawai Lelaki yang memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol dan Dian 16 dibawa oleh 16 Awang-awang serta Alat-alat Kebesaran Diraja yang terdiri daripada enam Pedang dan Perisai, enam Tumbak Bendarangan dan empat Kabok dan Panastan yang dibawa oleh Awang-awang. 

Istiadat Berbedak Pengantin Diraja dimulakan dengan didahului oleh Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban). 

Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menculiki Bedak Diraja kepada Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi. 

Istiadat Menculiki Bedak Diraja disusuli oleh Kerabat Diraja dan kemudian diikuti oleh ayahanda dan bonda Pengantin Diraja Lelaki. 

Istiadat tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan. 

Istiadat Berbedak Pengantin Diraja ini mempamerkan keindahan istiadat yang diwarisi sejak turun-menurun dengan menunjukkan pelbagai nilai budaya bangsa yang menjunjung tinggi adat dan adab yang murni lagi luhur dalam acara beristiadat kebesaran diraja di negara ini. Di samping itu, istiadat ini juga dapat disaksikan oleh seluruh rakyat dan penduduk negara ini secara langsung melalui siaran televisyen Brunei. 

Di samping itu, rakyat dan penduduk negara ini juga berkongsi kegembiraan dan merafakkan doa agar Pengantin Diraja selamat sejahtera dan memperoleh kebahagiaan. 

Selain itu, istiadat ini juga turut disaksikan oleh pelbagai warga dan bangsa, khususnya para perwakilan asing di negara ini yang menjadi tetamu pada majlis tersebut dengan berpeluang menyaksikan adat istiadat diraja Negara Brunei Darussalam yang merupakan pengalaman dan pengetahuan serta ristaan bermakna yang menjadi kenangan mereka ketika berada di negara ini.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

dpmm_170122.jpg

Dalam menyemarakkan lagi Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dan sebagaimana tradisi yang lazimnya diamalkan sejak zaman-berzaman dalam masyarakat Negara Brunei Darussalam, Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga diadakan di Lapau, ibu negara, di sini. 

Majlis yang penuh adat istiadat tersebut disempurnakan di hadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah sebagai wakil Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

Berangkat sama pada istiadat tersebut, paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik. 

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berserta kerabat diraja didahului oleh Perwira Diraja, yang membawa Pemuras dan Karga, sementara Perwira Asgar membawa Kelasak dan Kampilan, diiringi oleh Pembawa-pembawa Alat-alat Perhiasan Empat. 

Majlis bermula dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Yusof menjunjung anugeraha untuk mengadap Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, bahawa Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga telah siap sedia. 

Setelah itu, YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris menyembahkan ke hadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, yang kemudian menyabdakan supaya istiadat dimulakan. 

Seterusnya, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan memberikan isyarat kepada Juru Laki Awang Haji Johan Areffen untuk menjunjung Nakara. 

Juru Laki Awang Haji Johan Areffen menjunjung anugeraha masuk ke dalam majlis dan terus berjalan menuju ke Patarana, di mana Nakara diletakkan. Sebelum sampai di Patarana, Juru Laki Awang Haji Johan Areffen duduk dengan hormat dan mengangkat sembah ke hadapan majlis DYTM, seterusnya beringsut menaiki tangga Patarana sepipak demi sepipak. 

Apabila hampir ke tempat Nakara diletakkan, Juru Laki Awang Haji Johan Areffen mengangkat Nakara lalu mengusungnya di atas kepalanya dan beringsut menuruni tangga Patarana sepipak demi sepipak. 

Juru Laki Awang Haji Johan Areffen kemudian berdiri dan berjalan membelah majlis menuju ke tempat yang dikhaskan, iaitu tempat meletakkan Nakara, di tengah-tengah di antara dua Gendang Labik. 

Selesai Nakara diletakkan, Juru Laki Awang Haji Johan Areffen mengangkat sembah ke hadapan majlis DYTM dan mengambil tempat duduk menghadap Nakara. Apabila semua sudah siap sedia, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan memberikan isyarat untuk memulakan menitir Nakara. 

Juru Laki Awang Haji Johan Areffen menitir Nakara, diikuti oleh gualan Gendang Labik, tiupan Serunai, gualan Gong dan Chanang, diiringi dengan tembakan meriam sebanyak 21 das. 

Selepas itu, diikuti dengan Titir Gendang Alih-Alihan Tengah dan Gendang Alih-Alihan Hujung, juga diikuti oleh Titir Gendang Perang, yang lazim jumlah titirnya adalah mengikut jumlah orang-orang yang hadir (yang berhak digendangkan). 

Sejurus sahaja selesai Titir Gendang Perang, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Juru Laki Awang Haji Johan Areffen kemudian menjunjung anugeraha, seterusnya mengusung Nakara di atas kepalanya dan berjalan dengan membelah majlis menuju Patarana. Apabila sampai di tangga Patarana, beliau naik beringsut menaiki tangga Patarana sepipak demi sepipak, seterusnya Nakara yang diusung diletakkan ke tempat asalnya. 

Juru Laki Awang Haji Johan Areffen turun semula beringsut menuruni tangga Patarana sepipak demi sepipak, seterusnya duduk dan mengangkat sembah ke hadapan majlis DYTM Duli Pengiran Muda Mahkota juga menjunjung anugeraha dan keluar dari majlis. 

Sementara itu, Peniup Serunai dan Penggual Gendang Labik turut menjunjung anugeraha keluar dari majlis. 

Sebaik sahaja Juru Laki Awang Haji Johan Areffen keluar majlis, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan menjunjung anugeraha untuk mengadap YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, bahawa Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga telah sempurna dilaksanakan. 

YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, seterusnya menyembahkan ke hadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, bahawa Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga sempurna dilaksanakan. 

DYTM seterusnya bersabda kepada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan supaya mengadap ke hadapan majlis Kebawah DYMM dengan menyembahkan bahawa Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga telah sempurna dilaksanakan. 

''Bismillaahir Rahmaanir Raheem. 'Bisai tah' Pehin menyembahkan ke hadapan majlis paduka ayahanda, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bahawa Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga bagi Perkahwinan Diraja di antara paduka adinda, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi telah selamat sempurna dilaksanakan dan seterusnya Pehin akan dapat menyembahkan Kurnia Sepasukan Gendang Jaga-Jaga pada pagi ini kepada paduka adinda, Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen yang telah dititahkan memangku Majlis Perkahwinan pihak Pengantin Diraja Lelaki, 'miatu tah' saja," sabda DYTM. 

Selepas sahaja berkenan mengurniakan sabda, DYTM berserta paduka adinda dan kerabat diraja yang lain, kemudiannya berangkat meninggalkan majlis, diikuti oleh YAM Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, Manteri-manteri Hulubalang dan Manteri-manteri Pedalaman, Duta-duta, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Ketua-ketua Jabatan juga para jemputan. 

Sementara itu, Alat-alat Perhiasan Diraja di Balai Pemajangan, Istana Nurul Iman turut dilaksanakan sejurus selesai Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga, di Lapau. 

Dalam pada itu, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan berserta rombongan membawa Kurnia Sepasukan Gendang Jaga-Jaga ke tempat kediaman Pengantin Diraja Lelaki, di Darussidiq, Jerudong. 

Majlis diteruskan dengan Majlis Istiadat Menjunjung Kurnia Gendang Jaga-Jaga bagi Perkahwinan Diraja, yang berlangsung di Dewan Cempaka, Darussidiq, Jerudong. 

Berkenan berangkat ke majlis berkenaan, paduka anakanda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen yang memangku Istiadat Perkahwinan Diraja, di pihak Pengantin Diraja Lelaki. 

Majlis bermula dengan Rombongan Kurnia Sepasukan Gendang Jaga-Jaga, diketuai oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan berserta dengan Pehin-pehin Manteri Ugama, Pehin-pehin Manteri Istana dan Manteri-manteri Hulubalang tiba, di Darussidiq, Jerudong. 

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, didahului oleh Hulubalang Diraja, yang membawa Pemuras dan Karga, sementara Hulubalang Asgar membawa Kelasak dan Kampilan juga diiringi oleh Pembawa-pembawa Alat-alat Perhiasan Empat. 

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, kemudiannya dijunjung ke bilik khas, diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim; YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit; Yang Amat Mulia Pengiran Ratna Wijaya Brigadier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan; dan Yang Mulia Awang Nabil Mahmoud Abdulkadir Al-Hashimi. 

YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim; YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit; dan YAM Pengiran Ratna Wijaya Brigadier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan kemudian berangkat masuk ke dalam majlis. 

Seterusnya, Juru Laki Awang Haji Johan Areffen dan Pegandang-pegandang yang membawa Serunai, Gendang Labik masuk ke dalam majlis. 

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan kemudian menyembahkan kepada YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, bahawa Kurnia Sepasukan Gendang Jaga-Jaga, yang dianugerahkan kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen yang memangku Istiadat Perkahwinan Diraja, di pihak Pengantin Diraja Lelaki telah siap sedia. 

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar menjunjung anugeraha untuk mengadap YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, yang kemudiannya menyabdakan kepada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar untuk mengadap juga menyembahkan ke hadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, bahawa kurnia Sepasukan Gendang Jaga-Jaga telah siap sedia dan dijunjung kurnia sabda perkenan supaya istiadat dimulakan. 

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar kemudian mengadap juga menyembahkan ke hadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, bahawa kurnia Sepasukan Gendang Jaga-Jaga telah siap sedia dan menjunjung kurnia sabda perkenan supaya Majlis Istiadat Menjunjung Kurnia Gendang Jaga-Jaga dimulakan. 

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen menyabdakan supaya istiadat dimulakan. 

Sebaik-baik sahaja Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar menjunjung sabda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, maka Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar mengadap dan menyembahkan sabda yang dijunjungnya kepada YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.

YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim kemudian menyabdakan kepada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar supaya istiadat dimulakan. 

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar memberikan isyarat kepada Juru Laki Awang Haji Johan Areffen untuk memulakan Majlis Istiadat Menjunjung Kurnia Gendang Jaga-Jaga. 

Juru Laki Awang Haji Johan Areffen kemudian memberikan isyarat supaya memulakan gualan Gendang Labik, diikuti dengan tiupan Serunai juga gualan Gong dan Chanang, diiringi dengan 17 tembakan meriam.

Selepas itu, diikuti dengan titir Gendang Alih-Alihan Tengah dan Gendang Alih-Alihan Hujung, diikuti oleh Titir Gendang Perang, yang lazimnya jumlah titirnya adalah mengikut jumlah orang-orang yang hadir, iaitu yang berhak digendangkan, iaitu sebanyak 10 Titir. 

Sebaik sahaja selesai titir Gendang Perang, Doa selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin. 

Sejurus selepas itu, Juru Laki Awang Haji Johan Areffen menjunjung anugeraha untuk menuju ke Rumah Pegandangan, seterusnya diikuti oleh pegandang-pegandang yang lain. 

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, bahawa Majlis Istiadat Menjunjung Kurnia Gendang Jaga-Jaga telah sempurna dilaksanakan. 

YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim menyabdakan kepada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar mengadap juga menyembahkan ke hadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, bahawa Majlis Menjunjung Kurnia Gendang Jaga-Jaga telah sempurna dilaksanakan dan menjunjung anugeraha. 

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen kemudian menyabdakan supaya majlis ditutup. 

Sejurus sahaja Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar menjunjung sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, maka Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar mengadap juga menyembahkan sabda yang dijunjungnya kepada YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim supaya majlis ditutup. 

YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, kemudian menyabdakan supaya majlis ditutup. DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen berangkat meninggalkan majlis, diikuti oleh Pembesar-pembesar Negara juga para jemputan. 

Juga berangkat dan hadir pada majlis itu, YAM Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, Manteri-manteri Hulubalang dan Manteri-manteri Pedalaman, Duta-duta, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Ketua-ketua Jabatan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Senior Minister News
  

hm_160122.jpg

Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah sempurna berlangsung hari ini, memulakan Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Bersuruh Diraja yang berlangsung di Balai Persantapan, Istana Nurul Iman.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berserta kerabat diraja yang lain.

Pada Istiadat Bersuruh tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap rombongan Bersuruh Diraja yang dikepalai oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong.

Baginda seterusnya mengurniakan titah penerimaan lamaran Yang Mulia Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi yang disembahkan oleh ayahandanya Yang Mulia Awang Nabil Mahmoud Abdulkadir Al-Hashimi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menyambut baik hasrat dan mengalu-alukan kedatangan rombongan Pengantin Diraja Lelaki.

Sehubungan itu, Kebawah DYMM berserta keluarga baginda berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa meluruskan serta memberkati niat baik tersebut.

Justeru itu juga, Kebawah DYMM seterusnya menitahkan untuk mengurniakan Gendang Jaga-Jaga yang akan dipangku oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Terdahulu, Yang Mulia Awang Nabil Mahmoud Abdulkadir Al-Hashimi menyembahkan hasrat rombongan ke hadapan majlis Kebawah DYMM untuk menjunjung hasrat emas untuk melamar paduka anakanda baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.

Yang Mulia Awang Nabil Mahmoud Abdulkadir Al-Hashimi kemudian menjunjung kasih di atas kurnia titah perkenan Kebawah DYMM itu dan seterusnya mendoakan agar baginda dan kerabat diraja yang lain dikurniakan kebahagiaan.

Sebelum itu, Istiadat Bersuruh Diraja di Istana Nurul Iman bermula dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Yusof menjunjung anugeraha kepada Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar untuk mengadap ke hadapan majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan menyembahkan bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah siap sedia.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Majlis Istiadat Bersuruh Diraja bermula dan berakhir di Dewan Cempaka, Darussidiq.

Berangkat dan hadir pada Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri, Manteri-Manteri Hulubalang dan Manteri-Manteri Pedalaman, Duta-Duta, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Ketua-Ketua Jabatan serta para jemputan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


His Majesty News
  

dpmm_120122.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi berkenan menerima mengadap secara berasingan Ketua-ketua Perwakilan Asing yang akan menamatkan perkhidmatan. 

Duli Yang Teramat Mulia mula-mula berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Lao ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Phonetavy Boutdara. 

Tuan Yang Terutama menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 7 Julai 2018. 

DYTM seterusnya berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar. 

TYT menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 Januari 2019.

Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Qashr Al-Meezaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Senior Minister News
  

hm_100122.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap secara berasingan Ketua-ketua Perwakilan Asing yang akan menamatkan perkhidmatan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Lao ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Phonetavy Boutdara.

Tuan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 7 Julai 2018.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar.

Tuan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah DYMM pada 15 Januari 2019.

Majlis tersebut telah berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


His Majesty News
  

[FINAL-1] Kenyataan Media JPM - Pelanjutan Fasa Awal Endemik_page-0001.jpg

[FINAL-1] Kenyataan Media JPM - Pelanjutan Fasa Awal Endemik_page-0002.jpg

Other News
  

dm_050122.jpg

Pemimpin yang cekap dan berpandangan jauh ke hadapan akan menjadi harapan bangsa, pemangkin juga penentu kejayaan usaha-usaha kerajaan, dalam mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara, termasuklah yang dibawa oleh arus globalisasi, yang impaknya semakin dirasai, antaranya dari segi ekonomi, kesihatan, keselamatan, kesejahteraan, peralihan teknologi dan cabaran berkaitan alam sekitar. 

Antara cabaran-cabaran yang berlaku, pada skala yang membimbangkan, di mana contoh yang nyata ialah masalah penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan ditambah lagi dengan risiko mutasi varian-varian baharu yang terbukti mempunyai kadar penularan lebih tinggi. 

Cabaran ini banyak mencetuskan norma-norma baharu, dalam berbagai aspek kehidupan seharian mahupun pekerjaan, dan tidak dapat disangkalkan, bahawa ia turut memberi impak yang signifikan pada perbelanjaan dan sumber negara juga mempengaruhi kelancaran dan kesinanbungan penyampaian Perkhidmatan Awam. 

Perkara tersebut digariskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud selaku tetamu kehormat, pada Majlis Pembukaan bagi Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Ke-29, Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Ke-31 dan Ke-32 bagi Tahun Kewangan 2021 / 2022, yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri. 

Menurut Yang Berhormat, apa yang dapat dipelajari daripada hakikat ini ialah 'globalisasi' tidak sekali-kali membenarkan kita untuk bersifat leka atau 'complacent' atau senang berpuas hati dengan kelaziman tanpa perlu menerokai jalan-jalan pembaharuan untuk terus melangkah setapak demi setapak ke hadapan. 

"Ini kerana di sebalik kebaikan dan keuntungan yang dapat diraih, ia datang seiring dengan cabaran-cabaran, yang mungkin saja dalam bentuk dan skala yang belum pernah kita lihat sebelum ini. 

"Oleh itu, selaku penjawat awam dan pemimpin yang bertanggungjawab adalah menjadi satu amanah yang perlu kita pikul untuk sama-sama berganding bahu, dalam mengatasi dan mengawal cabaran-cabaran yang telah atau akan timbul, yang dibawa oleh arus globalisasi dengan pendekatan yang inovatif dan proaktif," jelas Yang Berhormat. 

Pada masa yang sama, ujar Yang Berhormat, para penjawat awam hendaklah sentiasa mempersiapkan diri dengan meningkatkan kapabiliti dan kebolehan secara berterusan untuk mengadaptasi segala kebaikan daripada proses globalisasi juga revolusi industri, dengan jayanya dan bersandarkan pada satu niat, iaitu untuk menjaga kemaslahatan juga kepentingan rakyat dan negara. 

Yang Berhormat menekankan, bahawa para peserta yang dikumpulkan adalah dari berbagai kementerian dan mempunyai latar belakang kelulusan, pengalaman juga tugasan yang berbeza. 

Gabungan ini, menurut Yang Berhormat, boleh dilihat sebagai replika kepada amalan Whole-of-Government yang perlu dipraktikkan, dalam suasana kerja yang sebenar. 

Sementara itu, jelasnya, modul-modul seperti lawatan sambil belajar dan projek-projek kemasyarakatan yang melibatkan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) memperluaskan skop latihan ke arah memantapkan lagi penggunaan kaedah Whole-of-Nation, dalam usaha mencapai wawasan negara. 

"Semua ini diaturkan untuk membantu meningkatkan lagi keupayaan tuan-tuan dan puan-puan dalam membentuk perancangan dan pelaksanaan pelan-pelan tindakan serta mengukuhkan kedayatahanan, dalam menghadapi sebarang cabaran yang berbangkit," tambah Yang Berhormat. 

Yang Berhormat berharap, hasil daripada program ini akan dapat membuktikan peningkatan produktiviti kerajaan dan penerokaan peluang-peluang pembaharuan, yang akan menghasilkan perkhidmatan kerajaan yang efisien, efektif dan berimpak tinggi, sesuai dengan keperluan masyarakat, pada masa kini dan akan datang.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Other News
  

hm_040122.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengadakan Keberangkatan Tidak Berjadual di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi melihat secara lebih dekat pengendalian operasi serta pemedulian kebajikan termasuk aspek keselamatan yang dipraktikkan terutama sekali dalam situasi negara bergelut menangani pandemik COVID-19.

Mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa keberangkatan tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Pada keberangkatan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan berangkat meninjau Pos Pasukan Polis Diraja Brunei yang beroperasi di LTAB.

Baginda kemudian berkenan mengadakan lawatan ke Dewan Berlepas bagi menyaksikan secara lebih dekat perkhidmatan proses pengendalian laluan penumpang-penumpang yang hendak berlepas meninggalkan negara dalam memastikan keselesaan sekali gus keselamatan penumpang.

Kebawah DYMM kemudian berkenan meninjau Pusat Kawalan Operasi yang berfungsi memantau serta mengendali armada dan operasi darat di LTAB. Baginda juga berkenan mengadakan lawatan ke ruang Dewan Ketibaan sebelum berangkat ke lokasi seterusnya.

Sejak beroperasi pada tahun 1974, LTAB menyaksikan pelbagai perkembangan dan berperanan penting ke arah pertumbuhan ekonomi negara dan sebagai salah satu pintu masuk utama pelancong-pelancong ke negara ini.

Bagi menampung peningkatan penumpang yang dianggarkan meningkat, LTAB telah melaksanakan pembinaan tambahan bahagian-bahagian utama serta melaksanakan Projek Modenisasi Terminal LTAB yang memberi perubahan yang ketara dalam memberikan perkhidmatan yang lebih efisien dan memberikan keselesaan kepada pengguna-pengguna terutama sekali penumpang-penumpang yang menggunakan LTAB.

Kemudahan serta keselesaan terus diberikan dengan terbinanya Surau LTAB untuk pengunjung-pengunjung menunaikan ibadat.

Dari LTAB, Kebawah DYMM berkenan meneruskan keberangkatan ke Kompleks Setia Kenangan, Kiulap bagi meninjau lebih dekat lagi fungsi dan peranan Khidmat Teknikal Diraja Brunei (RBTS). RBTS merupakan Syarikat Berkaitan Kerajaan yang ditubuhkan di Negara Brunei Darussalam sejak tahun 1988.

RBTS terus berkembang pesat dan berhasrat untuk membina keupayaannya dengan begitu ketara dalam beberapa tahun akan datang melalui pertumbuhan organik dan pakatan strategik.

Dengan hubungan kukuh dalam industri pertahanan dan keselamatan di seluruh dunia, peranan mereka berkembang dan menjadikan perniagaan teras mereka sebagai penyedia Perkhidmatan Pengurusan Kitaran Hayat.

Juga hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abd. Rahman yang juga selaku Pengerusi RBTS.

Semasa keberangkatan di RBTS, baginda sempat meninjau ruang-ruang pejabat termasuk Bahagian Business and Development serta Bahagian Audit and Client Marketing.

Terdahulu sebelum berangkat ke ruangan pejabat RBTS, baginda sempat membuat tinjauan ke kaunter-kaunter operasi Cawangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

BIBD merupakan bank terbesar di Negara Brunei Darussalam dan institusi kewangan Islam utama yang telah ditubuhkan pada tahun 2005 melalui penggabungan Bank Islam Brunei dan Bank Pembangunan Islam Brunei.

BIBD merupakan sebuah institusi kewangan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dikawal oleh amalan terbaik global di bawah bimbingan pasukan pengurusan yang berpengalaman.

BIBD komited untuk memenuhi keperluan pelanggan dari semua lapisan masyarakat melalui perkhidmatan berterusan, inovasi produk dan teknologi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


His Majesty News
  

[FINAL] Kenyataan Media JPM - 291221_page-0001.jpg

[FINAL] Kenyataan Media JPM - 291221_page-0002.jpg

Other News
  

hm_231221.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Sri lsmail Sabri bin Yaakob, kerajaan dan rakyat Malaysia, berikutan dengan kejadian banjir besar yang berlaku di Malaysia baru-baru ini. 

Sumber berita Pelita Brunei

His Majesty News
  

hm_2312211.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte, kerajaan dan rakyat Republik Filipina, berikutan dengan Taufan Rai yang melanda Republik Filipina baru-baru ini sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan mengakibatkan kerosakan harta benda. 

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

[FINAL] 221221 JPM - Kenyataan Media - Pengemaskinian Senarai Travel Green List_page-0001.jpg

Other News
  

hm_191221.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berikutan dengan pelantikannya semula sebagai Ketua Menteri Negeri Sarawak yang Ke-6.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

hm_181221.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada His Highness Sheikh Tamim bin Hamad AI Thani, Amir Qatar, Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Qatar, His Excellency Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdul Aziz Al Thani dan kerajaan serta rakyat Qatar sempena Hari Kebangsaan Qatar. 

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


His Majesty News
  

hm_111221.jpg

Dengan mengambil kira situasi yang ada sambil menerima hakikat kehidupan cara baharu, maka sudah tiba masanya untuk kita melangkah setapak ke hadapan untuk mengurangkan gangguan kualiti hidup yang ada, iaitu dengan memilih jalan lurus kepada Allah Subhanahu Wata’ala. 

“Maka dalam hubungan ini, beta bertawakal kepada-Nya mengisytiharkan permulaan Fasa Endemik Negara pada Rabu, 10 Jamadilawal 1443 bersamaan dengan 15 Disember 2021,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan Titah Perutusan Khas bagi Tahun 1443 Hijrah / 2021 Masihi, yang disiarkan di seluruh negara, malam tadi.  

Dalam fasa ini, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan, tidak dijanjikan jumlah kes menurun atau naik, dan tidak juga bermakna kita sudah berjaya atau tidak. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan, kita masih sahaja dituntut untuk menitikberatkan kerjasama dan kepekaan dalam kalangan masyarakat dalam masa menjalani kehidupan norma baharu. 

“Beta berharap, rakyat dan penduduk akan terus meningkatkan tanggungjawab sosial dalam mendukung dan mematuhi usaha-usaha kerajaan. Walaupun fasa ini membolehkan orang ramai menjalani aktiviti-aktiviti harian seperti biasa, namun langkah berjaga-jaga masih sahaja diperlukan tanpa mengabaikan Standard Operating Procedures (SOPs) yang ditetapkan,” titah baginda.

Tidak dapat dinafikan, titah baginda, perasaan bimbang atau khuatir terhadap penularan, masih sahaja ada. 

Oleh itu, baginda mengingatkan, kita janganlah lalai daripada terus berhati-hati atau beringat-ingat. Keputusan untuk meneruskan kehidupan norma baharu adalah berasaskan kepada kajian dan analisa saintifik serta data-data yang berkaitan.

Namun, titah baginda, pemantauan terhadap jangkitan akan tetap dilaksanakan, terutama kes-kes kritikal yang memerlukan pemantauan rapi dan bantuan alat tertentu.

Dalam masa yang sama, baginda bertitah, kita juga perlu kekal dan konsisten dengan amalan-amalan yang selama ini kita laksanakan, iaitu Sembahyang Hajat, membaca Al-Quran, berselawat, berdoa dan berzikir memohonkan rahmat Allah untuk membebaskan Brunei Darussalam daripada wabak koronavirus.

“Dalam kita bakal meneruskan kelangsungan hidup dalam norma baharu, kita janganlah lupa terhadap mereka yang telah pergi buat selama-lamanya disebabkan kerana jangkitan. Beta sendiri turut bersimpati dan merasakan kesedihan yang amat mendalam di atas pemergian mereka itu. 

“Beta juga terharu dengan kesabaran ahli keluarga yang tidak dapat mengebumikan atau membuat penghormatan terakhir kepada insan-insan tersayang akibat terhalang oleh pandemik,” titah baginda lagi. 

Baginda juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas kesihatan, penjawat awam, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta para sukarelawan yang telah menyumbangkan khidmat masing-masing. 

Baginda juga turut memberikan penghargaan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini yang sentiasa berganding bahu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dalam menangani wabak koronavirus.

“Marilah kita berdoa memohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala semoga keputusan untuk beralih kepada Fasa Endemik ini mendapat keberkatan serta segala perancangan dipermudahkan dan berjaya. Amiin Ya Rabbal Alamiin,” titah baginda sebelum mengakhiri perutusan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

hm_081221.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Olaf Scholz berikutan dengan pelantikannya sebagai Federal Chancellor, Republik Persekutuan Jerman.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  


Hari Isnin, 6hb December 2021, Jabatan Perdana Menteri (Jalan Perdana  Menteri) –  Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Seminar Perundangan Kali Kedua secara maya pada 6hb Disember 2021.  Seminar tersebut dikendalikan bersama oleh Bahagian Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara.   
 
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.  Turut hadir ke majlis tersebut ialah Yang Berhormat Awang Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa, Peguam Negara; Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap; TimbalanTimbalan Setiausaha Tetap, di Jabatan Perdana Menteri; Peguamcara Negara dan pegawaipegawai dari Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan selaku peserta bagi Seminar Perundangan Kali Kedua tersebut.    
  
Majlis dimulai dengan Ucapan Khas Yang Berhormat Tetamu Kehormat yang antaralainnya telah menyampaikan bahawa Seminar Perundangan Kali Kedua ini adalah sebagai kesenambungan bagi Seminar Perundangan Pertama yang telah di adakan pada 19 Nobember 2020, yang mana telah mendapat sambutan yang sangat positif dari kalangan peserta-peserta daripada warga perkhidmatan awam.  Seminar Perundangan Kali Kedua ini telah menunjukkan bahawa adanya kesedaran daripada setiap Kementerian bagi memastikan pegawai-pegawai Kerajaan sentiasa meningkatkan kefahaman mereka terhadap topik-topik perundangan yang berkait rapat dengan pelaksanaan tugas-tugas harian.  Mengambilkira perkara ini penularan COVID-19 bukanlah penghalang bahkan adalah pendorong untuk mengadakan Seminar Perundangan Kali Kedua walaupun ianya diadakan secara maya.   

Yang Berhormat Tetamu Kehormat seterusnya menyatakan bahawa undang-undang boleh menjadi satu perkara yang kompleks dan mencabar, oleh yang demikian dengan adanya Seminar ini dan dengan dokongan pihak Pejabat Peguam Negara, ianya diharapkan dapat membantu dalam merapatkan jurang kefahaman atau “bridging the gap” dan memberikan pengetahuan dan pemahaman asas dalam hal ehwal perundangan.  
 
Juga ditekankan adalah mengenai dengan kualiti perkhidmatan awam, Yang Berhormat Tetamu Kehormat menyatakan tidak memadai bagi sekadar tahu bidang tanggungjawab kerja seharian, malahan warga perkhidmatan awam juga perlu “celik undang-undang” agar tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan akan dijalankan dengan teliti dengan mempertimbangkan mana-mana ‘legal implication’ keatas keputusan yang dibuat. 

Yang Berhormat Tetamu Kehormat berpendapat bahawa usaha seperti Seminar ini adalah untuk mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam perkara-perkara perundangan di setiap Kementerian yang akan membina perkhidmatan awam yang berkemahiran dan berkesan untuk mendokong pembangunan negara kearah Wawasan Brunei 2035.  Inilah yang dimaksudkan sebagai pemerkesanan kearah peningkatan penilaian prestasi setiap warga perkhidmatan awam sebagaimana yang dihasratkan.  
 
Yang Berhormat Tetamu Kehormat berharap warga perkhidmatan awam yang menyertai Seminar Perundangan Kali Kedua ini akan dapat memanfaatkan kesemua ilmu pengetahuan yang di sampaikan kearah memastikan kedaulatan undang-undang Negara sentiasa dijaga dan dipelihara. 

Seminar di tutup dengan ucapan daripada Yang Berhormat Awang Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa, Peguam Negara antara lain telah menyatakan bahawa collaborasi di antara Jabatan Perdana Menteri dengan Pejabat Peguam Negara dalam seminar ini menunjukkan komitment Pejabat Peguam Negara dalam misinya untuk memastikan agensi-agensi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  di beri sokongan dan nasihat perundangan yang mantap.  Kerjasama seperti ini telah membawa hasil terhadap satu lagi projek diantara Pejabat Peguam Negara, Bahagian Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-Undang dan Pejabat Teknologi Maklumat dan Inovasi di Pejabat Perdana Menteri iaitu dari segi pengenalan dan penyediaan Pangkalan Data Rang Undang-Undang.  Pangkalan Data tersebut bertujuan untuk membolehkan pengguna-pengguna dari kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan status secara serta merta terhadap pengubalan dan penyediaan rang undang-undang di bawah kawalan kementerian dan agensi masing-masing.  

Yang Berhormat Peguam Negara seterusnya menyampaikan bahawa keupayaan bekerjasama untuk meningkatkan perkhidmatan awam adalah kunci kepada pendekatan kerajaan secara menyeluruh dan berharap bahawa acara dan projek-projek seperti ini diteruskan pada masa hadapan.

Seminar Perundangan tersebut dijadualkan selama dua (2) hari iaitu pada 6hb dan 7hb Disember 2021 dan adalah bertujuan untuk menjana meningkatkan pemahaman dan pengetahuan perundangan yang asas.  Topik-topik perundangan yang akan dibentangkan adalah seperti penyediaan rang undang-undang; kontrak, kutipan hutang Kerajaan (recovery of Government debt), salahlaku Pegawai Kerajaan dan juga undang-undang antarabangsa.

 
Dikeluarkan oleh:  
  
URUSETIA SEMINAR PERUNDANGAN  
Jabatan Perdana Menteri  
7 Disember 2021 / 02 Jamadilawal 1443   

Other News
  

hm_051221.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat balik meninggalkan London, United Kingdom (UK) pada 4 Disember 2021 selepas menghadiri Majlis Tamat Latihan Kursus All Arms Commando (AACC) Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; dan Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Perdana Menteri UK of Great Britain and Northern Ireland, The Right Honourable Boris Johnson.

Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Hadir di Lapangan Terbang Heathrow bagi menyembahkan selamat berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke UK dan Eire, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

hm_0412211.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia King Maha Vajiralongkorn Phra Vajiraklaochaoyuhua, Raja Thailand, kesemua ahli kerabat diraja, Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral (B) Prayut Chan-o-cha serta kerajaan dan rakyat Thailand bersempena dengan Hari Kebangsaan negara tersebut.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

hm_041221.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Perdana Menteri United Kingdom of Great Britain dan Northern Ireland, The Right Honourable Boris Johnson yang bertempat di No. 10, Downing Street, London. 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Semasa majlis perjumpaan tersebut, Kebawah DYMM menzahirkan ucapan tahniah kepada The Right Honourable atas pelantikan United Kingdom sebagai Rakan Dialog ASEAN serta kejayaan mempengerusikan United Nations Climate Change Conference (COP26) dan Group of Seven (G7) yang berlangsung pada tahun ini. 

Baginda menekankan hubungan istimewa dan rapat antara dua buah negara ini dibina melalui dua bidang asas, iaitu pertahanan dan pendidikan yang terus dicerminkan dalam banyak pertukaran lawatan yang dilakukan di semua peringkat. 

Di samping itu, kedua-dua pemimpin juga mengiktiraf penubuhan Dialog Strategik Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom. 

Hubungan Diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom telah lama terjalin sejak Januari 1984, dengan kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas, terutamanya dalam bidang pertahanan, pendidikan serta kerjasama perdagangan dan pelaburan. 

Sementara itu pada 5 Ogos 2021, United Kingdom menjadi Rakan Dialog ASEAN baharu yang pertama dalam tempoh 25 tahun dan Negara Brunei Darussalam adalah selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-U.K. 

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

hm_031221.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini, berkenan berangkat bagi menghadiri Majlis Tamat Latihan Kursus All Arms Commando (AACC) dan Penyampaian Beret Hijau bagi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, yang berlangsung di Commando Training Centre Royal Marines (CTCRM), Lympstone, Devon, United Kingdom.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah anakanda baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Bangunan Mes Pegawai CTCRM disambut dengan Tabik Hormat Diraja (Royal Salute), yang disembahkan oleh anggota Guard of Honour King's Squad dan Buglar Royal Marines Band.

Baginda, kemudiannya dijunjung oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen bersama Vice Lord Lieutenant of Devon, Lady Arran; Commandant CTCRM, Colonel Simon Chapman OBE; Commandant General of the Royal Marines, Brigadier Graeme Jock Fraser; dan Regimental Sergeant Major (RSM), W01 Billy Meldrum.

Kebawah DYMM, seterusnya beredar ke Achnacarry Room, Mes Pegawai CTCRM bagi menerima sembah taklimat daripada Colonel Simon Chapman OBE, yang antara lainnya menerangkan mengenai latar belakang CTCRM dan AACC, yang disertai oleh DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Baginda kemudiannya dijunjung berangkat ke The Eastney Room bagi Majlis Santap Tengah Hari.

Kebawah DYMM, seterusnya berangkat ke bangunan Modern Urban Combat (MUC), di mana baginda menyaksikan latihan ketenteraan kepakaran komando, yang merangkumi Close Quarter Battle (CQB), Method of Entry (MOE) dan Urban Climbing.

Selesai pertunjukan latihan ketenteraan berkenaan, Kebawah DYMM berangkat ke The Falklands Hall bagi menghadiri Majlis Tamat Latihan Kursus AACC juga Penyampaian Beret Hijau, di mana baginda dijunjung selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan Beret Hijau kepada 46 anggota peserta AACC, yang berjaya menamatkan kursus berkenaan, termasuk DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Pada akhir majlis, Kebawah DYMM berkenan bergambar ramai bersama para peserta AACC, jurulatih dan anggota CTCRM.

DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen menjalani AACC kendalian Royal Marines, di CTCRM, Lympstone, Devon selama 13 minggu, bermula, pada 20 September dan berakhir, pada 2 Disember 2021.

CTCRM merupakan pusat latihan utama bagi Royal Marines dan adalah sebuah pusat latihan unik, yang memilih dan melatih semua Pegawai Royal Marines, rekrut dan askar simpanan juga menyediakan semua latihan bagi Pegawai Belum Ditauliah (Non-Commissioned Officer) dan Pakar-pakar Royal Marines.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

dm_031221.jpeg

Dengan pemilihan tema 'ASEAN-PAC – Enhancing Anti-Corruption Strategies in the Fight Against Corruption for Regional Peace, Security and Prosperity' amat bertepatan dengan keadaan ketika ini dan relevan.

Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Anti-Rasuah ASEAN-PAC (ASEAN-Parties Against Corruption - ASEAN-PAC) Ke-17 yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud dalam ucaptama melalui rakaman video telah mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh ASEAN-PAC dalam menunjukkan komitmen ke arah membina tadbir urus yang lebih baik dan lebih berdaya tahan dalam memerangi rasuah walaupun dalam keadaan pandemik.

Yang Berhormat seterusnya mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Government Inspectorate of Viet Nam atas kejayaan mempengerusikan yang telah diadakan secara maya pada 9 Disember 2020. 

Yang Berhormat juga menyeru perlunya untuk meningkatkan kolaborasi dan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan agensi anti-rasuah ASEAN-PAC dalam mencegah dan memerangi rasuah dan seterusnya menyokong inisiatif dan komitmen yang dibuat oleh Ahli ASEAN-PAC ke arah mencapai objektif yang dinyatakan dalam memorandum persefahaman tersebut. 

Yang Berhormat mengakhiri ucapan dengan harapan semua Ahli ASEAN-PAC akan mengadakan mesyuarat yang produktif dan membuahkan hasil yang positif, mencapai matlamat bersama untuk mencegah dan memerangi rasuah untuk mewujudkan rantau yang bebas daripada rasuah.

Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Anti-Rasuah ASEAN-PAC Ke-17 tersebut telah diadakan di Ibu Pejabat Biro Mencegah Rasuah (BMR) pada 30 November 2021 lalu dan dipengerusikan oleh Pengarah BMR, Datin Paduka Dayang Hajah Suhana binti Haji Sudin yang dimulakan dengan satu sesi penyerahan rasmi Pengerusi ASEAN-PAC daripada Government Inspectorate of Viet Nam, Republik Sosialis Viet Nam kepada BMR, Negara Brunei Darussalam (NBD) yang telah dilaksanakan melalui rakaman video.

Mesyuarat ASEAN-PAC ini pada kelazimannya dianjurkan setiap tahun oleh agensi-agensi anti-rasuah secara bergilir-gilir mengikut negara yang mempengerusikan ASEAN.

Pada tahun 2020, mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Government Inspectorate of Viet Nam, Republik Sosialis Viet Nam yang juga dilaksanakan secara maya dan pada tahun ini, giliran Biro Mencegah Rasuah, NBD untuk menjadi pengerusi mesyuarat untuk kali ini.

ASEAN-PAC dahulunya dikenali sebagai South East Asia Parties Against Corruption (SEA-PAC) telah berkembang sejak beberapa tahun yang terdiri daripada empat buah negara sahaja iaitu NBD, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Kini ASEAN-PAC telah diperluaskan kepada agensi anti-rasuah ASEAN yang lain dan menjadikannya kepada 10 buah negara anggota ASEAN-PAC.

Dalam masa yang sama, kumpulan ini telah dijadikan sebagai salah satu entiti di bawah ASEAN dan telah menukar nama kumpulan ini daripada SEA-PAC kepada ASEAN-PAC, baru-baru ini.

ASEAN-PAC merupakan platform untuk negara anggota berkongsi pelaksanaan pencegahan rasuah mereka dan membincangkan hala tuju untuk meningkatkan keberkesanan agensi pencegahan rasuah ASEAN.

Antara objektif ASEAN-PAC ini adalah memberi peluang kepada agensi-agensi pencegahan rasuah untuk berkongsi pengalaman dan meneliti semua amalan terbaik bagi menangani isu-isu yang timbul dalam melaksanakan undang-undang anti-rasuah di negara masing-masing.

Selain itu, melaporkan dan mempelajari kemajuan agensi pencegahan rasuah yang lain dalam menentang rasuah serta perkongsian pembentangan langkah-langkah baharu yang merangkumi perlaksanaan jangka pendek dan panjang pencegahan dan pembanterasan rasuah yang dijalankan.

Mesyuarat ASEAN-PAC Ke-17 ini telah disertai oleh perwakilan-perwakilan daripada Anti-Corruption Unit, Kemboja; Komisi Pemberantasan Korupsi, Indonesia; State Inspection Authority, Republik Demokratik Rakyat Lao;  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Malaysia; Anti-Corruption Commission, Myanmar; Office of the Ombudsman, Filipina; Corrupt Practices Investigation Bureau, Singapura; Office of the National Anti-Corruption Commission, Thailand; dan Government Inspectorate of Viet Nam, Republik Sosialis Viet Nam. 

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto



Other News
  

hm_0112211.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada His Highness Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Abu Dhabi, UAE; dan His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden, Perdana Menteri, Pemerintah Dubai dan Menteri Pertahanan, UAE dan kepada kerajaan serta rakyat UAE bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Yang Ke-50 UAE.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

hm_011221.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Dr. Thongloun Sisoulith; dan Perdana Menteri, Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Dr. Phankham Viphavanh, serta Kerajaan dan rakyat Republik Demokratik Rakyat Lao sempena dengan Hari Kebangsaannya Yang Ke-46.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

dpmm_301121.jpg

Pembangunan teknologi yang pesat telah membentuk semula persekitaran ekonomi. 

Oleh itu, sektor swasta, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) hendaklah menyesuaikan diri dalam era digital global pada masa ini, dengan meningkatkan tahap kapasiti masing-masing, bagi persediaan memasuki pasaran-pasaran baharu, di luar negara. 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda demikian menerusirakaman video, pada Majlis Pembukaan Rasmi Anugerah Perniagaan ASEAN (ABA) 2021. 

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersabda menyatakan, bahawa pandemik COVID-19 berkembang secara meluas daripada kecemasan kesihatan kepada krisis ekonomi global dan memberi kesan negatif kepada sektor swasta. 

Walau bagaimanapun, rantau ini, sabda Duli Yang Teramat Mulia telah mula menunjukkan pemulihan ekonomi, pada tahun 2021 dan sektor swasta memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada usaha pemulihan berkenaan. 

Justeru, DYTM dalam sabdanya, menekankan akan kepentingan kerjasama di antara sektor awam dan sektor swasta untuk mencapai pemulihan yang mampan daripada pandemik. 

DYTM juga menyentuh, bahawa kerjasama yang berterusan di antara kedua belah pihak akan dapat membantu perniagaan-perniagaan mengenal pasti peluang-peluang ekonomi dan tindakan-tindakan yang wajar untuk diambil bagi menguatkan lagi asas perniagaan juga meneroka cara baharu yang inovatif, dalam menjalankan perniagaan. 

Untuk menyokong kerjasama ini, beberapa dialog dan program di antara sektor swasta dan pelbagai Badan-badan Sektor ASEAN, dalam sabda DYTM lagi, telah meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya dalam bidang PMKS, pelancongan, dan rantaian bekalan global. 

Dalam hal ini, DYTM seterusnya bersabda menekankan, bahawa program-program, seperti ASEAN Business Roundtables, ASEAN Business and Investment Summit dan ASEAN Business Awards menunjukkan banyak manfaat yang diperoleh, jika kerajaan dan swasta sama-sama berganding bahu. 

Sebelum mengakhiri sabda, DYTM berkenan mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang anugerah pada tahun ini, bagi kedayatahanan pada menghadapi cabaran-cabaran pandemik dan usaha-usaha di bidang kelestarian, pembangunan kemahiran juga keusahawanan wanita. 

DYTM juga bersabda memberikan pujian kepada penaja-penaja korporat; bagi mendedikasikan pendapatan mereka untuk tujuan sosial, di mana mereka akan dianugerahkan dengan Brunei Special Award for Emerging Social Enterprises.

Malah, DYTM dalam sabdanya, berharap sektor awam dan sektor swasta terus berganding bahu bagi mencapai persekitaran yang dinamik, lestari dan berdaya saing.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Senior Minister News
  

dpmm_291121.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald yang akan menamatkan perkhidmatan. 

Puan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 10 September 2020. 

Majlis Mengadap tersebut telah berlangsung di Qashr Al-Meezaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Senior Minister News
  

hm_271121.jpg


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam yang akan menamatkan perkhidmatan, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald.

Puan Yang Terutama menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada 10 September 2020.

Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


His Majesty News
  

hm_261121.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang tadi berkenan berangkat menyertai Sesi Retreat Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ke-13 secara maya, dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman.

Pada Sesi Retreat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyatakan bahawa tema ASEM pada tahun ini, iaitu 'Strengthening Multilateralism for Shared Growth' mencerminkan keperluan masyarakat global untuk menangani kesan-kesan pandemik COVID-19, persaingan geopolitik dan ekonomi, dan perubahan iklim.

Oleh itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan adalah penting untuk terus menanai dan meningkatkan kerjasama pelbagai hala bersandarkan undang-undang antarabangsa, saling hormat menghormati dan penyelesaian pertikaian secara aman.

Dalam hubungan ini, baginda bertitah bahawa situasi di Myanmar merupakan isu yang mencabar kerana negara tersebut mempunyai sejarah yang lama dan kompleks sejak kemerdekaannya lebih 70 tahun yang lalu.

Justeru, Myanmar, dalam titah baginda lagi, perlu diberi ruang untuk beralih kepada situasi seperti biasa, sebagaimana yang dihasratkan para penduduknya.

Ke arah itu, baginda berharap agar Myanmar melaksanakan ASEAN Five-Point Consensus tepat pada masanya bagi membina keyakinan bersama rakan-rakan serantau dan antarabangsa.

Pada mengakhiri titah, baginda menghargai sokongan berterusan komuniti antarabangsa terhadap usaha-usaha ASEAN dalam perkara tersebut.

Semasa Sesi Retreat, para pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Perdana Menteri Kerajaan Kemboja semasa menyampaikan ucapan penutupnya menyatakan penghargaan terhadap perbincangan yang terbuka dan konstruktif di antara para pemimpin ASEM ke arah menangani isu-isu global yang penting secara kolektif.

Nilai-nilai teras ASEM yang bersifat tidak formal dan saling menghormati membolehkan ahli-ahli untuk menangani pelbagai isu sensitif melalui kolaborasi aktif dan rapat ke arah membina rantau-rantau yang lebih aman, selamat dan makmur.

Pada penghujung Sidang Kemuncak, 13th ASEM Summit 'Strengthening Multilateralism for Shared Growth' Chair's Statement; Phnom Penh Statement on the Post-COVID-19 Socio-Economic Recovery; dan The Way Forward on ASEM Connectivity diluluskan.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
  

hm_251121.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ke-13, yang diadakan serentak dengan Ulang Tahun Ke-25 ASEM, merupakan peluang baik bagi mencerminkan nilai dan kepentingan ASEM.

Pada Sesi Plenary Pertama Sidang Kemuncak ASEM Ke-13, yang diadakan secara maya, dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seterusnya bertitah, mengimbas semula, bahawa semasa Sidang Kemuncak ASEM yang pertama, pada tahun 1996, di Bangkok, para pemimpin telah mengenal pasti potensi yang amat besar dalam menghubungkan Asia dan Eropah untuk mencapai pertumbuhan juga kemakmuran yang lebih tinggi.

Titah baginda lagi, mengukuhkan perkongsian tersebut penting memandangkan Rakan-rakan Ahli sedang kembali pulih daripada pandemik COVID-19.

Sehubungan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menekankan, kepentingan kesalinghubungan digital dan ia merupakan kepentingan bersama untuk menyelaras keperluan para penduduk juga perniagaan.

Justeru titah baginda, Negara Brunei Darussalam menyambut baik, bahawa usaha sedemikian ini akan diteruskan menerusi 'ASEM Connectivity Initiative'.

Baginda juga bertitah menekankan, bahawa akses pada vaksin yang tepat pada waktunya dan saksama, juga mengiktiraf vaksin-vaksin yang tersenarai di dalam WHO's Emergency Use Listing adalah penting untuk membolehkan semula perjalanan yang selamat secepat mungkin, bagi menjalin hubungan dalam pendidikan, sosial dan kebudayaan, yang akan bermanfaat untuk semua.

Pada mengakhirinya, Kebawah DYMM bertitah menyatakan, bahawa isu kesihatan mental juga perlu ditangani untuk mengelakkan kesan-kesan jangka panjang terhadap ekonomi dan kepada penduduk-penduduk, juga menggariskan, bahawa Negara Brunei Darussalam melihat potensi besar untuk ASEM bekerjasama dalam bidang ini melalui perkongsian kepakaran dan amalan-amalan terbaik.

Terdahulu itu, ucapan-ucapan pembukaan disampaikan oleh Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEM Ke-13; Presiden European Council, Tuan Yang Terutama Mr. Charles Michel selaku Penyelaras Serantau bagi Kumpulan Eropah; Presiden European Commission, Puan Yang Terutama Mrs. Ursula von der Leyen selaku Penyelaras Serantau bagi Kumpulan Eropah; Perdana Menteri Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Mr. Mikhail Mishustin selaku Penyelaras Serantau Kumpulan NESA; Perdana Menteri Republik Slovenia, Tuan Yang Terutama Mr. Janez Jansa selaku EU Council Presidency dan Penyelaras Serantau bagi Kumpulan Eropah; juga Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral (B) Prayut Chan-o-cha selaku Penyelaras Serantau bagi Kumpulan ASEAN.

Dalam Sidang Kemuncak tersebut, para pemimpin juga mendengarkan kenyataan-kenyataan daripada pihak-pihak berkepentingan ASEM.

Sesi Pertama Plenary berkenaan memfokuskan perbincangan mengenai peranan ASEM dalam meningkatkan multilateralisme ketika menghadapi cabaran-cabaran yang kompleks, di samping rasa hormat, kefahaman dan kepercayaan di antara Rakan-rakan ASEM melalui pengukuhan sistem perdagangan antarabangsa, yang bersandarkan undang-undang; juga kerjasama untuk mencapai pembangunan dan pertumbuhan mampan, khususnya dalam menangani agenda perubahan iklim dan memanfaatkan peluang-peluang kesalinghubungan digital.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

His Majesty News
1 - 30Next