​​senior_minister2.jpg

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH

MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI


Duli Yang Teramat Mulia telah dimashyurkan menjadi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pada 10hb Ogos 1998.

Duli Yang Teramat Mulia dilantik menjadi Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pada 24hb Mei 2005.

Duli Yang Teramat Mulia diputerakan pada hari Ahad, 24 Muharam 1394 bersamaan 17 Februari 1974 di Istana Darul Hana, Bandar Seri Begawan. Pendidikan Duli Yang Teramat Mulia bermula di Sekolah Putera-Puteri di Istana Darul Hana. Kemudiannya memasuki Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan telah lulus dalam peperiksaan Brunei Junior Certificate pada tahun 1988 dan Brunei General Certificate of Education peringkat biasa (O Level) pada tahun 1991. Duli Yang Teramat Mulia meneruskan pengajian di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan telah lulus dalam peperiksaan General Certificate of Education (Cambridge) peringkat ‘A’ pada tahun 1994.

Duli Yang Teramat Mulia juga menghadiri kuliah di Universiti Brunei Darussalam dan seterusnya memulakan pengajian seberang laut di Pusat Pengajian Islam Oxford pada Oktober 1995. Pada tahun seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia berjaya melayakkan diri untuk mengikuti Program Perkhidmatan Luar di Magdalen Kolej, Universiti Oxford dan menerima ijazah dalam tahun 1997. Duli Yang Teramat Mulia menerima Diploma dalam bidang ‘Diplomatic Studies’ pada 3 Ogos 1998 dalam Majlis Konvokesyen Khas di Bandar Seri Begawan.

Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menganugerahkan pangkat Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Kepada Duli Yang Teramat Mulia pada 25hb Mac 2004. Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah menganugerahkan ‘Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T)’ pada 31 Mei 2004 sempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke 43 tahun.

Pada 5hb Mei 2005, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menganugerahkan kepada Duli Yang Teramat Mulia pangkat Timbalan Inspektor Jeneral Polis.

Duli Yang Teramat Mulia dilantik menjadi Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan pada 28hb Jun 2006. Majlis Bencana Kebangsaan bertanggungjawab merumus rangka strategik polisi untuk pengurusan bencana kebangsaan serta kemungkinan peristiwa bencana berlaku terhadap kehidupan manusia, harta benda dan alam sekitar. Duli yang Teramat Mulia juga adalah Pengerusi bagi Jawatankuasa Kebangsaan Menentang Wabak Influenza yang telah ditubuhkan pada November 2005, khususnya untuk tujuan merumuskan rancangan tindakbalas terhadap ancaman wabak influenza.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan kepada Duli yang Teramat Mulia pada 4hb September 2006 di Majlis Konvokesyen ke 18 Universiti Brunei Darussalam. Duli Yang Teramat Mulia juga adalah ‘Pro-Canselor’ Universiti Brunei Darussalam.

Duli Yang Teramat Mulia telah menjalani penempatan di pelbagai agensi kerajaan dan juga di sektor swasta iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Perhubungan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Buruh, dan Datastream Technology Communications (DST).

Duli Yang Teramat Mulia juga giat mengadakan lawatan kerja ke beberapa agensi Kerajaan, Institusi Kewangan dan Pendidikan, syarikat swasta tempatan termasuk lawatan ke mukim diseluruh negara.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah melangsungkan perkahwinan dengan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Salleh Ab. Rahaman pada 9hb September 2004. Pada 17hb Mac 2007, Duli Yang Teramat Mulia telah dikurniakan dengan seorang putera yang dinamakan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan seorang puteri yang dinamakan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

Duli Yang Teramat Mulia meminati sukan snooker, bowling, badminton, dan bolasepak. Duli Yang Teramat Mulia juga menyertai pelbagai kejohanan snooker dan badminton dan pernah mewakili Negara di Sukan SEA dalam acara billiard dan snooker, termasuk 9-Ball (men single) World Pool Championship di Makati, Philippines dan Men’s World 8-Ball Championship di Fujairah, United Arab Emirates.

Duli Yang Teramat Mulia juga mempunyai kelab bola sepak sendiri yang digelar DPMM FC, yang menyertai liga bolasepak ‘semi-professional’ tempatan dan pernah mewakili Negara dalam pelbagai kejohanan antara kelab serantau dan liga Singapura.

Duli Yang Teramat Mulia memegang berbagai bintang kebesaran dan pingat kehormatan termasuk Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B), Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T); King Abdul Aziz Ribbon, First Class (Saudi Arabia); The Order of The Renaissance (First Degree) (Jordan); Medal of Honour (Lao); Distinguished Service Order (D.S.O.) (Singapore); Order of Lakandula With The Rank of Grand Cross (Philippines); Distinguished Service Order (D.S.O.) (Military) (Singapore); Pingat Hassanal Bolkiah Sultan (P.H.B.S).