prime_minister2.jpg 

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

PERDANA MENTERI
MENTERI PERTAHANAN
MENTERI KEWANGAN
MENTERI HAL EHWAL LUAR NEGERI DAN PERDAGANGAN

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah juga Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, dan Menteri Kewangan Negara Brunei Darussalam.

Selaku Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Baginda adalah Kuasa Memerintah Tertinggi di Negara Brunei Darussalam. Dalam menjalankan tugas-tugas Baginda, Baginda dibantu oleh Majlis-Majlis Mesyuarat berikut: Majlis Mesyuarat Diraja, Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja, Majlis Ugama Islam, Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet, dan Majlis Mesyuarat Negara.

Baginda diputerakan pada 15 Julai 1946 di Bandar Brunei (sekarang Bandar Seri Begawan).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menerima pendidikan awal di Negara Brunei Darussalam dan kemudian Baginda menuntut di Kuala Lumpur, Malaysia. Baginda mendapat latihan selaku Pegawai di Akademi Tentera Diraja, Sandhurst (United Kingdom) pada 1966-67.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dimasyhurkan sebagai Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota pada tahun 1961 ketika berusia 15 tahun. Berikutan dengan keputusan Paduka Ayahanda Baginda, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien untuk turun takhta dengan sukarela, maka Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Brunei yang ke-29 pada 5 Oktober 1967.

Baginda telah dipuspakan sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 1 Ogos 1968.

Pada tahun 1978, Baginda telah mengetuai satu rombongan ke London bagi mengadakan perundingan dengan Kerajaan Baginda Queen mengenai dengan pertukaran status Negara Brunei Darussalam kepada sebuah Negara yang berdaulat lagi merdeka. Hasilnya ialah Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Great Britain di mana Kerajaan British menyerahkan kepada Negara Brunei Darussalam tanggungjawab ke atas hal ehwal luar negeri dan pertahanan pada 1 Januari 1984.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia melangsungkan perkahwinan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha. Baginda dikurniakan dengan lima orang putera dan tujuh orang puteri.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia meminati sukan polo, squash dan badminton. Baginda juga merupakan juruterbang yang berkelayakan bagi pesawat udara dan juga helikopter.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia memegang Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B) dan bintang-bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam yang lain. Baginda juga menerima bintang-bintang kebesaran daripada luar negeri.