mfinance2.jpg

PEHIN ORANG KAYA LAILA SETIA DATO SERI SETIA
AWANG HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI IBRAHIM
 

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN II

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dilahirkan pada tahun 1954.

Beliau telah mengikuti pengajian tinggi dalam ijazah sarjana muda, BSc (Hons) Economics di University of Hull, United Kingdom pada tahun 1978. Beliau juga telah dianugerahkan Certificate of Professional Studies daripada Arthur D. Little School of Managemen U.S.A di tahun 1986 dan telah menghadiri Program Pengurusan Kanan di London Business School, United Kingdom pada tahun 1996.

Selain portfolio sebagai Menteri Kewangan Kedua di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim adalah juga Timbalan Ketua Lembaga Pengarah Agensi Pelaburan Brunei (BIA); Timbalan Lembaga Pengarah Dana ‘Sustainability’; Timbalan Pengerusi II Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Ahli Lembaga bagi Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

Sepanjang perkhidmatan beliau dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selama 32 tahun, Yang Berhormat Pehin pernah memegang beberapa jawatan penting. Ini termasuk Pengarah Pentabdiran merangkap Ketua Unit Peraturan Kewangan di Kementerian Pembangunan (1987); Pengarah Institusi Kewangan, Kementerian Kewangan (1992); Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Kementerian Kewangan (1995); Pengarah Belanjawan, Kementerian Kewangan (1998); Setiausaha Tetap, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (2000); Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan (2001) dan Pemangku Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei (2001).

Pada bulan September 2004, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan sebelum dilantik menjadi Menteri Kewangan Kedua pada bulan Mei 2005. Beliau telah dilantik semula sebagai Menteri Kewangan Kedua di Jabatan Perdana Menteri pada bulan Mei 2010.

Yang Berhormat Pehin berkahwin dengan Datin Sapiah binti Haji Sabtu pada tahun 1977 dan telah dikurniakan 2 orang anak perempuan dan 3 orang anak lelaki.