sut_hamdan.jpg

DATO SERI PADUKA AWANG HAJI HAMDAN BIN HAJI ABU BAKAR

TIMBALAN MENTERI

KESELAMATAN DAN MEDIA


Dato Seri Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar memulakan kerjaya sebagai Pegawai Diplomatik, Jabatan Penyelidikan Brunei di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri pada tahun 1989. Seterusnya mulai awal 1993, beliau telah terlibat dalam proses menubuhkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (KDN). Pada 1 Ogos 1993, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Staf di KDN dan semenjak itu, telah terus memainkan peranan penting dalam jabatan tersebut. Pada 1996, Dato Seri Paduka Haji Hamdan dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Staf Kanan, seterusnya sebagai Penolong Pengarah KDN pada tahun 2002, sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Penyelidikan) pada tahun 2006. 

Pada tahun 2009, selepas tiga tahun sebagai Timbalan Pengarah KDN, Dato Seri Paduka Haji Hamdan diberikan amanah selaku pemangku Pengarah KDN sebelum ditetapkan sebagai Pengarah KDN pada tahun 2010 sehingga kini. Pada tahun 2010, Dato Seri Paduka Haji Hamdan juga telah dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Keselamatan & Penguatkuasaan) di Jabatan Perdana Menteri, satu jawatan yang telah dijawat beliau selama lima tahun.

Pada 22 Oktober 2015, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah bagi Dato Seri Paduka Haji Hamdan untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri (Keselamatan & Media) di Jabatan Perdana Menteri. Dato Seri Paduka Haji Hamdan juga adalah Pengerusi bagi Brunei Strategy Council (BSC) dan Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKN).

Dato Seri Paduka Haji Hamdan memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Dasar Awam & Pentadbiran dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada tahun 1989. Semasa menuntut di UBD, beliau telah terpilih untuk menyertai satu tahun pembelajaran di University of Kent at Canterbury, England dan telah memperolehi University Diploma in Social Sciences pada tahun 1988. Beliau seterusnya memperolehi Ijazah Sarjana beliau dalam Perhubungan Antarabangsa di Griffith University, Queensland, Australia pada tahun 2009.

Dato Seri Paduka Haji Hamdan telah dikurniakan bintang-bintang kebesaran dan pingat-pingat kehormatan seperti berikut:
16 Julai 2012: Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua, (D.P.M.B).
2008: Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga, (S.M.B).
2001: Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat, (P.S.B).
12hb April 2011: Pingat Kerja Lama, (P.K.L)

Pada 24 November 2015, beliau telah dianugerahkan “Pingat Jasa Gemilang” oleh Kerajaan Republik Singapura. 

Dato Seri Paduka Haji Hamdan dilahirkan pada 17 Oktober 1963. Beliau mendirikan rumahtangga bersama Datin Hajah Zainon binti Abang Haji Omarzuki dan mempunyai dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Jika berpeluang, Dato Hamdan mengemari membaca dan bola sepak.