Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

Title

27.02.16 Kerja kerana Allah, bukan untuk glamor

Body


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan bahawa  penggubalan Akta Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah  bukan perkara yang main-main tetapi penggubalannya adalah semata-mata kerana Allah, bukan kerana untuk glamor.

Oleh itu, tegas baginda, ianya mestilah dibuat dengan bersungguh-sungguh dan baginda tidak mahu ada yang beranggapan  bahawa Akta Kanun Jenayah Syar'iah sebagai tidak berharga di mata mekanisma undang-undang yang ada.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian ketika  berkenan berangkat ke Mesyuarat Khas Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB),  di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, di sini.

“Fasa pertama, Akta Hukum Kanun Jenayah Syar’iah telah pun dikuatkuasakan pada 1 Mei 2014.  Kemudian untuk fasa kedua dapat dilaksanakan, kita mesti pula menunggu 12 bulan lagi dari tarikh CPC atau Perintah Kanun Peraturan Jenayah Syar’iah diwartakan.  Sekarang masa sudah pun berlalu dua tahun, namun CPC Syariah belum juga diwartakan.  Bahkan setakat drafnya pun belum lagi disemak.  Bererti jika ia siap dan diwartakan pada tahun 2016 ini, maka kita akan menunggu pula setahun lagi, iaitu pada tahun 2017 barulah fasa kedua ini dapat dilaksanakan.

"Sementara bagi fasa ketiga pula akan menunggu lagi sampai ke tahun 2018.  Sudahlah period menunggu bagi setiap masa untuk dapat dilaksanakan terlalu panjang, iaitu selama 12 bulan, ditambah lagi membawa lebih lambat ialah penyemakan draf CPC Syariah tidak dibuat dengan semestinya.  Jadi sampai bilakah lagi Akta Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah itu akan dapat dilaksanakan sepenuhnya,” tegas baginda.

Baginda turut mempersoalkan mengapakah para penyemak draf tidak dapat menyemaknya dengan segera, adakah betul tidak dapat menyemaknya dengan segera atau sengaja tidak mahu menyemaknya.

“Sekali lagi beta bertanya, mana menteri dan mana peguam negara, tidakkah mereka mahu menyubuk-nyubuk di mana kerja itu dibuat oleh pegawai dan kakitangan mereka,” tegas baginda.

Baginda bertitah menegaskan bahawa kerja kerana Allah tidak boleh tidak, mestilah dibuat dengan bersungguh-sungguh.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihaah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Yang Di-Pertua MUIB.

MUIB adalah sebuah pertubuhan yang tertinggi di Negara Brunei Darussalam dan pembuat dasar untuk menentukan hala tuju pentadbiran ugama Islam di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah sebagai pelaksana dan pendukung terhadap dasar yang telah dibuat oleh MUIB.

Peranan utama MUIB ialah membantu dan menasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam semua hal yang berkaitan dengan ugama Islam.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Description

Front page image

Category

His Majesty News
Attachments