Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
13.12.17 DYTM berkenan rasmikan 5th AICIF

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Kewangan Islam Universiti-universiti ASEAN Ke-5 (5th AICIF).


Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Royal Berkshire, Royal Brunei and Polo Country Club dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.


Turut menjunjung keberangkatan tersebut ialah Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Awang Yusof bin Haji Abd. Rahman.


Sejurus keberangkatan, bacaan Surah Al-Fatihah dan doa dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.


Menteri Pendidikan, selaku Pengerusi Majlis UNISSA dalam sembah alu-aluannya menjelaskan, kerjasama dengan institusi-institusi perbankan Islam dan profesional yang terkenal di dunia adalah menjadi keutamaan bagi kewangan Islam di rantau ini juga di seluruh dunia.


Justeru itu, Yang Berhormat berharap persidangan tersebut akan memperkukuhkan lagi hubungan di antara universiti ASEAN yang menawarkan program perbankan dan kewangan Islam.


DYTM kemudiannya berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya berkenan menyempurnakan perasmian 5th AICIF.


Selepas itu, DYTM berkenan menerima pesambah berupa sebuah Crystal Flora Vase yang dikelilingi dengan logo tujuh buah universiti selaku penganjur bersama 5th AICIF.


Analoginya juga meliputi idea serta pandangan ulama dan cendekiawan kewangan Islam serantau dikumpul dalam satu platform (AICIF) untuk diadun bersama bagi membentuk model Hub Kewangan Islam yang unggul selari dengan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Pada majlis tersebut, DYTM mendengarkan pembentangan Kertas Perdana bertajuk 'Issues, Challenges, and Future Prospect of Islamic Banking and Finance' juga merupakan tema persidangan tahun ini yang disembahkan oleh Profesor International Institute of Islamic Banking and Finance, Profesor Dr. Engku Rabiah Adawiyah binti Engku Ali dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Dalam pembentangan itu, Profesor Dr. Engku Rabiah Adawiyah menyembahkan beberapa langkah strategik yang perlu dibuat untuk memacu industri yang lebih berkesan.


Antara cadangannya termasuklah nilai yang baik dan berdaya saing melalui keuntungan yang lebih baik dan mapan, kemasukan kewangan dalam ekonomi sebenar.


Sebelum berangkat meninggalkan Dewan Royal Berkshire, DYTM berkenan bergambar ramai bersama Ahli Jawatankuasa Pandu the 5th AICIF dan pembentang jemputan, seterusnya menandatangani Lembaran Kenangan.


5th AICIF merupakan satu persidangan antarabangsa tahunan yang dianjurkan bersama dengan enam buah universiti negara ASEAN secara bergilir-gilir.


Tahun ini, UNISSA melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam merupakan penganjur utama setelah persidangan ini mula dilancarkan pada tahun 2013 oleh UIAM dan diikuti oleh Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga, Jogjakarta pada tahun 2014.


Pada tahun 2015 pula persidangan tersebut diadakan di Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA), Semarang dan dianjurkan semula pada tahun berikutnya 2016 oleh UIAM.


Objektif persidangan tersebut adalah untuk membincangkan dan menilai perkembangan terkini mengenai perbankan dan kewangan Islam, di samping memberikan saranan kepada pihak perbankan dan kewangan Islam yang mempunyai kepentingan (tenaga akademik, pengamal dan penggubal dasar) untuk hala tuju masa depan perbankan dan kewangan Islam.


Ia juga untuk mengukuhkan lagi hubungan di antara universiti negara ASEAN yang menawarkan program perbankan dan kewangan Islam dengan cara penganjuran bersama persidangan yang bertaraf antarabangsa.


Seminar tersebut berlangsung selama dua hari bermula 13 hingga 14 Disember di Parkview Hotel, Jerudong.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Infofoto

Attachments