Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
27.11.17 Brunei - Singapura kembangkan bidang keselamatan, keamanan

Kerjasama dua hala di antara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) Brunei Darussalam dan Singapura yang berkembang hendaklah berterusan bagi meningkatkan keupayaan kedua-dua buah negara dalam bidang keselamatan dan keamanan.


Setiausaha Tetap KHEDN, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, selaku tetamu kehormat menekankan demikian pada Majlis Perasmian Program Pertukaran Latihan Bersama (Joint Training Exchange Programme) bagi Pegawai-pegawai Kanan Kali Ke-3 bertempat di Bangunan JPM, di sini.


Program tersebut jelasnya, merupakan satu langkah dalam mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua buah negara, yang mana dapat memberi peluang mereka menubuhkan rangkaian, bertukar idea dan belajar di antara satu sama lain.


Justeru itu, beliau yakin program itu akan memberi manfaat kepada kedua belah pihak dalam mengukuhkan keupayaan mereka menghadapi isu-isu baharu keselamatan dan keamanan.


Hadir sama, Setiausaha Tetap di JPM, Awang Mohd. Riza bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos dan Timbalan Setiausaha Tetap (Antarabangsa), KHEDN, Republik Singapura, T. Raja Kumar.


Seramai 20 pegawai kanan terdiri daripada 10 pegawai kanan KHEDN, Republik Singapura dan 10 pegawai kanan dari JPM serta KHEDN menyertai program berkenaan yang diadakan selama 12 hari bermula 27 November dan berakhir di Republik Singapura pada 8 Disember nanti.


Sepanjang program, para peserta akan membuat lawatan ke beberapa agensi di kedua-dua negara bagi memahami dengan lebih dekat peranan dan fungsi setiap jabatan, di samping berkongsi pengalaman serta amalan terbaik khususnya dalam menangani isu-isu keselamatan juga prosedur penyelarasan di tahap kebangsaan dan meningkatkan lagi kemahiran kepimpinan.


Program yang diungkayahkan secara bersama oleh JPM, KHEDN, Negara Brunei Darussalam dan KHEDN, Republik Singapura merupakan salah satu usaha kerjasama kedua-dua buah negara dalam mengeratkan lagi kerjasama di antara para pegawai kanan yang terlibat.


Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN, ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan di JPM dan KHEDN.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments