Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
26.11.17 Keberangkatan Kebawah DYMM meriahkan Acara Lumba Perahu

Lumba Perahu yang menjadi kegemilangan masyarakat Brunei merupakan salah satu acara sukan yang sentiasa mendapat sambutan oleh segenap lapisan penduduk di negara ini.


Suasana Sungai Brunei hari ini dimeriahkan dengan Acara Lumba Perahu yang melibatkan penyertaan bukan sahaja dari pasukan-pasukan kebangsaan malah pasukan-pasukan jemputan dari negara jiran.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke acara tersebut yang berlangsung di Dermaga Diraja, di ibu negara, di sini.


Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan berserta kerabat diraja yang lain.


Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah Mukim.


Sejurus keberangkatan, Kebawah DYMM berkenan menyertai Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh.


Setelah itu, Kebawah DYMM dijunjung kembali ke Pentas Diraja bagi menyaksikan Lumba Perahu Fiberglass Belia-Belia Bawah Umur 30 Tahun ke Bawah 20 Pekayuh dan Lumba Perahu Tradisi antara Institusi dan Pengajian Tinggi 15 Pekayuh.


Kebawah DYMM berkenan berangkat ke Kuala Lumapas di perairan Sungai Brunei dengan menaiki perahu khas bagi melepaskan Acara Lumba Perahu Tradisi Maraton 30 Pekayuh.


Acara tersebut merupakan Lumba Perahu yang terakhir sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta yang mana jarak perlumbaan adalah sepanjang 5 kilometer.


Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudian berkenan menyaksikan pameran-pameran di pekarangan Dermaga Diraja.


Pameran tersebut merangkumi gambar-gambar dan potret-potret penglibatan baginda berserta kerabat diraja pada Acara Lumba Perahu Brunei Darussalam pada tahun-tahun lalu selain pameran dari pelajar-pelajar Politeknik Brunei dalam pengajian media digital dan sekolah ICT serta Pameran Jetski.


Pameran tersebut diungkayahkan oleh Jabatan Muzium-Muzium dengan kerjasama Jabatan Penerangan, Politeknik Brunei dan Persatuan Sukan Jet Brunei Darussalam (BJSA).


Baginda kemudiannya berkenan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan dan seterusnya berkenan berangkat beserta kerabat diraja bagi bergambar ramai sebelum ke Pentas Diraja bagi pengurniaan hadiah kepada pemenang-pemenang perlumbaan.


Bagi Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh, dimenangi oleh pasukan Kebawah DYMM diikuti dengan pasukan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, tempat kedua dan tempat ketiga ialah pasukan Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung.


Sementara bagi Acara Lumba Perahu Tradisi Maraton 30 Pekayuh pula dijuarai oleh pasukan Laksamana Sinapuan Sarawak.


Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan jemputan-jemputan khas.


Terdahulu, Acara Lumba Perahu yang diungkayahkan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta di bawah Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah Mukim turut dimeriahkan lagi dengan letupan gas berwarna-warni yang mewarnai perairan Sungai Brunei dan barisan lalu kapal-kapal dari pelbagai agensi kerajaan menandakan berakhirnya Acara Lumba Perahu berkenaan.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments