Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
16.10.17 Berangkat saksikan perlawanan Liga S

Pasukan Brunei DPMM FC gagal memanfaatkan bermain di gelanggang sendiri apabila tumpas kepada Pasukan Balestier Khalsa FC 4 - 1 pada perlawanan Liga Singapura (Liga S) yang berlangsung malam tadi bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.


Berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.


Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah serta kerabat diraja yang lain.


Babak pertama menyaksikan pasukan Balestier Khalsa FC menguasai permainan dengan membuat jaringan pertamanya di minit ke-21 melalui hasil tendangan pemain jersi 2, Fadli Kamis.


Pada minit ke-48 penjaga gol pasukan Brunei DPMM FC, sekali lagi gagal menyelamatkan gawangnya apabila Hazzuwan Halim dari Pasukan Balestier Khalsa FC, sekali lagi berjaya menyumbatkan jaringan kedua pasukannya.


Kedua-dua pasukan saling silih berganti mengatur serangan untuk menjaringkan gol masing-masing.


Di babak kedua perlawanan pula, pasukan Balestier Khalsa FC, terus mematahkan semangat pasukan DPMM FC apabila beliau menjaringkan gol ketiga bagi pasukannya.


Selang 16 minit kemudian, pasukan Balestier Khalsa FC terus bijak mengatur strategi dan berjaya sekali lagi menjaringkan gol melalui Tajeli Selamat, jersi 6.


Pasukan DPMM FC tidak berputus asa dan terus mengasak gawang pertahanan lawan seterusnya dan berjaya membolosi pada minit ke-90 melalui sepakan Shahrazen Said.


Sementara itu, perlawanan pada masa rehat pula menyaksikan Pasukan All Star FC berjaya menewaskan Projek Ikan Pusu 'B' dengan jaringan 1 - 0.


Pasukan All Star FC turut dibintangi oleh Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez bin Pengiran Anak Khairul Khalil.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments