Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
16.10.17 Berangkat ke Majlis Hafl Al-Takharruj Ke-7

Kegembiraan jelas terpancar bagi seramai 182 graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) setelah usaha penat lelah menimba ilmu akhirnya membuahkan hasil apabila menggenggam segulung ijazah dan sijil diterima pada Majlis Hafl Al-Takharruj Ke-7, berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.


Berangkat mengurniakan ijazah dan sijil berkenaan ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).


Juga berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor UNISSA.


Keberangkatan Kebawah DYMM dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku Pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.


Sejurus keberangkatan tiba, selawat dan qasidah (dikir) 'Ahlan Bikum Sultanana' berkumandang mengiringi perarakan masuk Kebawah DYMM dan DYTM ke Dewan Plenari dan diikuti Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.


Hafl Al-Takharruj diimarahkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah Al-Maidah ayat 48 hingga 50, dibacakan oleh graduan program Sarjana Muda Usuluddin Tafsir dan Hadith, Awang Muhammad Hashim bin Haji Abdullah manakala bacaan Al-Hadith, disampaikan oleh graduan Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah, Awang Mohammad Marzuqi bin Sabtu.


Sementara bacaan inti sari ayat suci Al-Quran berserta Al-Hadith pula dibacakan oleh graduan Program Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah, Awang Sheikh Husrin Jairul Azry bin Sheikh Hassan.


Pada majlis itu, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan titah dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan ijazah dan sijil kepada para graduan dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian.


Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM dan DYTM juga berkenan mengabadikan kenangan bergambar ramai bersama para graduan.


Hafl Al-Takharruj tahun ini menyaksikan seorang graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 38 graduan Ijazah Sarjana, enam penerima Program Diploma Perundangan Islam dan Guaman Syari'e, 14 penerima Diploma Lepas Ijazah, 98 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, 3 Ijazah Khas Hafaz Al-Quran 30 Juzuk, dua Ijazah Diploma Tertinggi Kebangsaan al-Dirasaat al-Islamiyyah dan 23 penerima Sijil Barnamij al-Tarqiyah (Program Peningkatan) dan Sijil Sistem Keadilan Jenayah Syariah.


Dari jumlah tersebut, seramai empat graduan telah memperoleh Kepujian Kelas Pertama iaitu Dayang Najwa Izzati binti Haji Isa dan Dayang Nur Hayati binti Haji Abas daripada Program Sarjana Muda Bahasa Arab, Dayang Afeefah binti Haji Othman / Haji Awang Othman daripada program Sarjana Muda Sains Dalam Kewangan Islam, dan Dayang Nur Rahimah binti Brahim daripada Program Sarjana Muda Syari'ah (Fiqh dan Usul).


Fakulti Syari'ah dan Undang-Undang pada tahun ini buat kali kedua telah melahirkan seramai lapan graduan berjaya mengikuti Program Dwi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Perundangan Syari'ah (LL.B dan BSL) yang mengambil masa pengajian selama lima tahun.


Pada tahun ini, UNISSA telah menawarkan program di bawah Pusat Penyelidikan Halalan Tayyiban dan Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam untuk mempelbagaikan lagi peluang kursus-kursus yang boleh diikuti untuk melahirkan generasi berpendidikan sesuai menyahut Wawasan Negara 2035.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments