Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
26.09.17 Guru adalah nadi bagi kejayaan



Sebagai pendidik, guru memang dikehendaki sentiasa cemerlang untuk melahirkan anak-anak bangsa yang berjaya. Guru adalah nadi bagi kejayaan.

Berdasarkan dunia sentiasa berubah dan berkembang, maka tuntutan kapasiti sumber tenaga manusia adalah semakin mencabar. Ini, turut memberikan implikasi kepada definisi kecemerlangan seorang guru.

Menyedari hakikat itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah melahirkan rasa gembira dengan usaha Kementerian Pendidikan untuk menjadikan perkembangan kapasiti guru sebagai fokus utama dalam strategi pendidikan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-27 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa seterusnya bertitah menegaskan ia memang wajar untuk pembaikan dan peningkatan diri.+

Oleh itu, menyentuh usaha memperkukuhkan kapasiti guru, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titahnya menyambut baik inisiatif Literacy and Numeracy Coaching Program yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan.

Baginda bertitah program tersebut bertujuan untuk melahirkan lebih ramai guru-guru tempatan yang cemerlang yang diperakui sebagai Local Coaches.

''Beta gembira mengetahui, bahawa seramai 29 orang guru setakat ini telahpun menamatkan program pembangunan kapasiti dan kini diiktiraf sebagai 'Local Coaches' dalam Literacy and Numeracy Coaching Program ini. Beta berharap jumlah ini akan meningkat lagi,'' titah baginda.

Kebawah DYMM seterusnya bertitah guru-guru yang tidak terlibat secara langsung sebagai 'Local Coaches' ataupun 'Learning Partners' adalah disarankan supaya memanfaatkan kepakaran 'International Coaches' dengan mengikuti program-program perkembangan profesional guru-guru yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan.

Dalam pada itu, baginda dalam titahnya mengingatkan supaya Kementerian Pendidikan tidak bersifat leka atau terlepas pandang dari memantau pelaksanaan Literacy and Numeracy Coaching Program tersebut.

''Pastikan ia berjalan di atas landasan yang tidak bercanggah dengan falsafah kita. Ini sangat penting, di samping perubahan signifikan yang dibawanya kepada prestasi guru,''

''Sehubungan dengan perkara ini, mungkin juga elok bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk mengambil daya usaha dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkenaan bagi menyediakan pakej yang menarik sebagai insentif kepada guru-guru yang berminat menjadi 'Local Coaches','' dalam titahnya.

Dalam masa yang sama baginda bertitah mengingatkan kita juga akan mengukur kompetensi pelajar dalam pengetahuan dan kemahiran berfikir. Ini dapat dilaksanakan melalui penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam Programme for International Student Assessment (PISA).

Program itu dalam titah baginda, akan disertai oleh setiap pelajar yang berumur 15 tahun pada tahun 2018, dan akan menilai kompetensi serta kedudukan pelajar-pelajar itu berbanding dengan pelajar-pelajar lain di peringkat antarabangsa.

Ia juga dalam titahnya merupakan cabaran terhadap kapasiti guru-guru kita dalam menerapkan kefahaman kepada pelajar-pelajar untuk memahami bahan kandungan dan proses berfikir yang kompleks di dalam kehidupan ini.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments