Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
26.09.17 Berkenan berangkat ke Sambutan Hari Guru Ke-27



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan  dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-27 Tahun 2017 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Berangkat sama ialah putera-putera Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM berserta kerabat diraja yang lain dialu-alukan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, selaku Pengerusi Bersama Majlis serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-27 Tahun 2017.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah khusus buat ayahanda Kebawah DYMM, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah dan diikuti dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Ali ‘Imran (ayat 159 – 161) oleh Awang Ahmad Syuza’iee bin Mudim Haji Matassim, yang merupakan wakil Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kuwait Bagi Tahun 1434 Hijrah bersamaan 2013 Masihi sementara inti sari ayat disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abd Muluk.

Setelah itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-27, Tahun 2017 menyembahkan sembah alu-aluan dan diikuti dengan titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Majlis juga diserikan dengan persembahan syair bertajuk ‘Kecemerlangan Guru Teras Kejayaan Ummah’ dan Medley Lagu-Lagu ‘Guru Oh Guru, Jasamu Guru, Pelita Hidupku dan Terima Kasih Cikgu’ gabungan daripada empat guru sekolah rendah dan sekolah menengah dan enam pegawai dan kakitangan dari Unit Pendidikan Khas termasuk para pelajar yang terdiri daripada enam pelajar berkeperluan khas, enam pelajar dari sekolah rendah, 10 pelajar dari sekolah menengah dan tujuh pelajar dari institut pengajian tinggi.

Kebawah DYMM kemudiannya berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah-Anugerah Hari Guru Ke-27, Tahun 2017 kepada 27 penerima.

Para penerima terdiri daripada seorang penerima Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (SHOAS), seorang penerima Anugerah Guru Berjasa, lima orang penerima Anugerah Guru Cemerlang dan 20 orang penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention).

Anugerah Pendidikan SHOAS diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Manakala Dato Paduka Awang Haji Ali Hashim bin Haji Daud terpilih sebagai penerima Anugerah Guru Berjasa.

Pada akhir majlis, baginda serta kerabat diraja yang lain dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-27, Tahun 2017 dan seterusnya dijunjung berangkat menyaksikan Pameran Sempena Sambutan Hari Guru Ke-27, Tahun 2017 di ruang legar.

Pameran Sambutan Hari Guru pada tahun ini mempamerkan beberapa segmen selaras dengan tema Hari Guru, iaitu ‘Kecemerlangan Guru Teras Kejayaan Ummah’ (Teacher Excellence Underpins The Nation’s Success) dan dibahagikan kepada beberapa sektor, iaitu Sektor 1 : Petikan Titah Kebawah DYMM, Sektor 2 : Pejabat Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan - Literacy Numeracy Coaching Programme (LNCP), Sektor 3 : Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Sektor 4 : Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Sektor 5 : Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)  dan Sektor 6 : BIBD Alaf.

Sebelum berangkat meninggalkan ICC, Kebawah DYMM juga berkenan menerima junjung ziarah daripada para penerima anugerah-anugerah Hari Guru pada tahun ini termasuk  Tahun 2011 sehingga 2016, guru-guru, pelajar-pelajar, mahasiswa dan mahasiswi daripada pelbagai peringkat pendidikan dan institusi serta peserta-peserta persembahan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments