Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
12.09.17 Berangkat menghadiri Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir bagi Al-Marhum DYMM Sultan Kedah Darul Aman



Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi selamat berangkat tiba di Negeri Kedah Darul Aman, Malaysia untuk menghadiri Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir bagi Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Al-Mu’tassimu Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman yang diadakan di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Negeri Kedah Darul Aman.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas dijunjung oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi, Abdul Bari bin Abdullah; dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd. Taha; serta pegawai-pegawai daripada Kementerian Luar Negeri, Malaysia; dan daripada Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Kuala Lumpur, Malaysia.

DYTM seterusnya berkenan berangkat menaiki kenderaan khas menuju ke Hotel dan Pusat Persidangan Tabung Haji, tempat persemayaman DYTM di Alor Setar, Negeri Kedah Darul Aman.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan kemudiannya berkenan berangkat ke Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir bagi Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Al-Mu’tassimu Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman yang diadakan di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Negeri Kedah Darul Aman.

Keberangkatan tiba DYTM di Istana Anak Bukit, dijunjung oleh Yang Mulia Dato Lela Putra Dato’ Tunku Jaafar Laksamana bin Tunku Nong Jiwa, ahli Kerabat Diraja Negeri Kedah Darul Aman.

DYTM kemudiannya dijunjung berangkat untuk memberikan penghormatan terakhir ke atas jenazah Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman.

Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman telah mangkat pada 2.30 petang, hari Isnin, 11 September 2017 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Al-Marhum Sultan Kedah Darul Aman yang memerintah Kedah selama 59 tahun, berusia 89 tahun, turut melakar sejarah Malaysia dengan menjadi Yang Di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, iaitu pada 21 September 1970 hingga 12 September 1975; dan 13 Disember 2011 hingga 12 Disember 2016.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah diputerakan pada 28 November 1927. Pada 14 Julai 1958, baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman setelah kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Baginda telah dipuspakan sebagai Sultan Kedah Darul Aman pada 20 Februari 1959.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah dan kemudian melanjutkan pelajaran baginda ke Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.

Pada tahun 1952, semasa baginda selaku Raja Muda Kedah, Sultan Abdul Halim melanjutkan pelajaran ke Kolej Wadham, Oxford, London, dalam bidang Sains Sosial dan Pentadbiran Awam.

Al-Marhum Sultan Abdul Halim telah meninggalkan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Haminah Hamidun dan dua orang puteri, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tunku Soraya dan Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah, Brigadier Jeneral Tan Sri Dato' Seri Diraja Tunku Puteri Intan Safinaz.

Mengiringi keberangkatan DYTM ke Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhomat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Dari Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah Darul Aman, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan berserta rombongan terus berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.

Hadir sama di lapangan terbang tersebut untuk menyembahkan selamat berangkat ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi, Abdul Bari bin Abdullah; dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd. Taha; serta pegawai-pegawai daripada Kementerian Luar Negeri, Malaysia; dan daripada Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Kuala Lumpur, Malaysia.

Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments