Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
10.07.2017 Berkenan berangkat ke Sambutan Hari Raya Aidilfitri YSHHB


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1438 Hijrah / 2017 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB serta Ahli-Ahli Jemaah Tadbir YSHHB yang lain.|

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul `Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta kerabat diraja yang lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dari Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan dalam ucapannya menyembahkan pada sambutan ini, YSHHB dengan berpandukan kepada aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi kecemerlangan rakyat dan negara telah mengetengahkan mereka yang berjaya atau 'the achievers' yang telah mencapai kecemerlangan dan menerima anugerah di atas pencapaian dan jasa bakti mereka di dalam bidang dan lapangan tertentu sebagai peserta.

Yang Berhormat menyembahkan, mereka ini telah mencapai kejayaan dan menerima pengiktirafan dalam berbagai bidang sama ada secara individu mahupun secara berkumpulan, baik dari peringkat kebangsaan, serantau mahupun antarabangsa.

Sembah Yang Berhormat lagi, penampilan mereka ini juga telah membuktikan bahawa Negara Brunei Darussalam juga mampu melahirkan para tokoh, juara, cendekiawan, profesional dan inovator dalam berbagai-bagai bidang.

"Ini membuktikan bahawa kita mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama-sama masyarakat lain di arena serantau mahupun antarabangsa," sembah Yang Berhormat.

Yang Berhormat juga menyembahkan, mereka ini seterusnya diharapkan akan menjadi contoh tauladan dan dapat memberikan sumber inspirasi kepada masyarakat sekeliling untuk sama-sama berazam meningkatkan usaha memacu kecemerlangan dan kejayaan ke arah pembangunan ugama, bangsa dan negara.

Pada majlis itu, Kebawah DYMM juga berkenan mengurniakan titah.

Majlis  diserikan lagi dengan persembahan pentas iaitu sketsa dan nyanyian daripada gabungan para pelajar Sekolah YSHHB yang terdiri daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak, murid-murid sekolah rendah dan penuntut-penuntut sekolah menengah dengan tema 'Kejayaan dan Kecemerlangan'.

Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja yang lain kemudian menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama pelajar-pelajar YSHHB dan para jemputan.

Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan sebelum berkenan menyertai sesi bergambar ramai.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja yang lain juga berkenan mengadakan lawatan ke pameran-pameran daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta yang mengambil tempat di ruang legar pusat berkenaan, yang mengetengahkan kejayaan dan kecemerlangan yang telah dicapai.

Dengan adanya sambutan ini akan memberi peluang kepada para peserta untuk beramah mesra dengan raja yang dikasihi di samping memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta agar terus  melaksanakan peranan mereka dalam mengharumkan lagi nama bangsa dan negara.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments