Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
08.05.17 Berangkat kurniakan lot tanah dan anak kunci rumah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Lot-lot Tanah dan Anak-anak Kunci Rumah kepada seramai 954 penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) bagi Daerah Brunei dan Muara (DBM).


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini, dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Pemangku Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Pemangku Pegawai DBM, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei Muara, Pengiran Haji Shahril Azman bin Pengiran Haji Metusin, yang kemudian diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Pemangku Pegawai DBM.


Pemangku Pegawai DBM dalam sembah alu-aluannya, antara lain mengingatkan kepada para penerima dan penghuni-penghuni RPN ini nanti untuk akan sentiasa menjaga dan memelihara keharmonian hidup bernegara, mewujudkan perpaduan dan semangat kejiranan serta kesejahteraan dan kemakmuran dalam suasana yang aman dan saling hormat-menghormati dan mematuhi pensyaratan-pensyaratan yang telah digariskan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan.


Beliau juga turut merafakkan sembah menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah DYMM di atas nikmat serta limpah kurnia anugeraha baginda yang sudah setentunya memberikan kehidupan dan tempat berteduh yang lebih selesa kepada para penerima.


Selaku rakyat dan penduduk yang bernaung dan berlindung di bawah payung pemerintahan bijaksana Kebawah DYMM sembahnya lagi, akan terus-menerus mendukung kepimpinan dan kedaulatan baginda serta membaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan Kebawah DYMM sebagai raja yang disayangi dan disanjungi dan sentiasa tekad berdiri teguh mendukung serta berikrar menyokong sepenuhnya terhadap kepimpinan baginda.


Sebagai rakyat dan penduduk baginda juga sembahnya lagi, mereka sentiasa berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah DYMM sentiasa mendapat taufik serta kurnia limpahan rahmat dan sentiasa berada di dalam keredaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan kekal karar memerintah di atas takhta singgahsana kerajaan NBD.


Terdahulu sembah beliau, keberangkatan Kebawah DYMM itu memberikan satu anugerah serta penghormatan yang amat tinggi nilainya, dan memberi makna yang amat berharga serta menjadi kenang-kenangan kepada para penerima.


Di samping itu sembahnya, dengan kurnia penganugerahan tersebut mencerminkan sikap keprihatinan, pemedulian serta rasa kasih sayang baginda terhadap rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi Brunei Darussalam yang bertuah ini.


Pada majlis tersebut, dari keseluruhan jumlah peserta seramai 222 penerima lot-lot tanah, manakala 732 orang menerima anak-anak kunci rumah.


Menurut perangkaan Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan lebih 28 ribu buah rumah telah dihasilkan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 26,240 unit rumah telah dianugerahkan kepada para penerima yang berkelayakan seluruh negara, yang mana dari jumlah itu lebih 17 ribu unit para penerima dari DBM.


Ini membuktikan komitmen kerajaan melalui Kementerian Pembangunan dalam merancang dan meneliti penyediaan perumahan di bawah Skim Perumahan Negara bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian rakyat selaras dengan strategi pembangunan Wawasan Brunei 2035.


Sejurus menyempurnakan majlis tersebut, Kebawah DYMM kemudiannya berkenan melawat ke beberapa institut pendidikan antaranya ke Sekolah Rendah Anggerek Desa, Kluster III, Mukim Berakas 'A'; Sekolah Rendah Mulaut dan di salah sebuah institusi pengajian tinggi yang menjadi perhatian Kebawah DYMM, iaitu Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, Mukim Sengkurong.


Selesai membuat lawatan di institut-institut pendidikan berkenaan, Kebawah DYMM seterusnya berkenan berangkat ke rumah Ketua Kampung Tanjong Nangka, Mukim Sengkurong, Awang Haji Lamat bin Nawang.


Di akhir lawatan, Kebawah DYMM juga berkenan berangkat meninjau ke lima buah rumah peserta yang terpilih menerima anak-anak kunci rumah di bawah RPN Lugu, Mukim Sengkurong.


Sejak negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1984 di bawah pimpinan Kebawah DYMM, rakyat dan penduduk telah dan terus menikmati berbagai kemudahan, antaranya penyediaan perumahan.


Ia jelas mencerminkan keprihatinan dan pemedulian baginda kepada rakyat dan penduduk negara ini dan secara langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita baginda khususnya dalam menyediakan perumahan yang berkonsep berdaya tahan serta mampu dimiliki selaras dengan salah satu objektif Rancangan Kemajuan Negara (RKN) untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat yang tinggi.


Oleh itu, dalam usaha untuk memastikan penyediaan perumahan di bawah Skim Perumahan Negara tersebut mampu berdaya tahan, Kementerian Pembangunan telah menubuhkan satu jawatankuasa, iaitu Housing Focus Group bagi meneliti pendekatan-pendekatan baharu dengan me'review' secara menyeluruh dasar subsidi kerajaan, syarat-syarat kelayakan pemohon, jenis perumahan yang akan dibina dengan mengambil kira isu ketersediaan tanah negara.


Antara usaha yang kini dilaksanakan, di mana Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan telah melaksanakan Kemas Kini Data Pemohon Skim Perumahan Negara (KSPN) 2017 selama dua bulan sehingga Jun ini.


Adalah diharapkan dari hasil KSPN 2017 itu membolehkan kementerian berkenaan merangka dan mengemas kini dasar yang sedia ada serta memastikan bahawa dasar Skim Perumahan Negara akan terus releven juga dapat dilaksanakan untuk kepentingan rakyat dan penduduk di negara ini.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments