Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
07.05.17 Brunei - Arab Saudi terokai kerjasama dua hala

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar menerima kunjungan muhibah Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral dari Kerajaan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Khalid Al-Falih.


Kunjungan tersebut adalah bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat dan persaudaraan serta kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Arab Saudi berikutan lawatan rasmi oleh Kebawah Duli Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, Raja Arab Saudi dan Penjaga Dua Masjid Suci ke Brunei Darussalam pada awal pada bulan Mac 2017.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui'zzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud telah menekankan kepentingan mengukuhkan kerjasama dua hala dalam beberapa bidang yang menjadi kepentingan bersama termasuk bidang tenaga, pelaburan dan ekonomi.


Kunjungan TYT Khalid Al-Falih ke negara ini adalah tepat pada masanya mengikut arahan kedua-dua pemimpin, di mana kedua buah negara berpeluang meneroka kerjasama dua hala dan peluang-peluang ekonomi.


Dalam perjumpaan dua hala tersebut, kedua-dua menteri tersebut membincangkan pelan kepelbagaian ekonomi kedua buah negara yang mempunyai beberapa peluang untuk diterokai dan bekerjasama dalam bidang yang berpotensi bagi kepentingan bersama termasuk bekalan minyak mentah dari Arab Saudi untuk membangunkan sektor hiliran petrokimia yang semakin meningkat di Negara Brunei Darussalam dan potensi pelaburan oleh syarikat-syarikat dari Arab Saudi dalam projek ammonia dan urea Brunei Darussalam serta projek-projek lain yang menarik.

 

Tuan Yang Terutama juga menjemput para pegawai Brunei Darussalam untuk belajar daripada pengalaman industri minyak dan gas di Arab Saudi.


Selain itu,kedua menteri juga membincangkan potensi untuk melanjutkan Deklarasi Kerjasama OPEC / Bukan OPEC yang sedia ada dan telah ditandatangani pada Disember 2016 yang turut menetapkan pelarasan pengeluaran minyak mentah dari negara-negara yang mengambil bahagian, termasuk Brunei.


Negara Brunei Darussalam dan Arab Saudi, selama enam bulan bermula Julai 2017 hingga Disember 2017 mempunyai objektif utama untuk menstabilkan dan pengimbangan semula harga minyak.


Yang Berhormat Pehin juga turut memaklumkan kepada TYT bahawa negara ini tidak mempunyai bantahan dan bersetuju dengan lanjutan tersebut.


Di waktu yang sama, TYT juga penuh berharap agar negara-negara lain yang menyertai akan menyusul kemudian.


Semasa berada di negara ini, TYT juga berpeluang melawat Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja dan menghadiri jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Yang Berhormat Menteri Tenaga dan Perindustrian sebelum berangkat meninggalkan negara ini.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments