Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
06.05.17 Berangkat merasmikan Ekspo dan Persidangan Inovasi PMKS, CAEXPO 2017

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Ekspo dan Persidangan Inovasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kali Pertama dan Pameran Brunei China-ASEAN Exposition (CAEXPO) 2017.


Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Dewan Bridex, Jerudong, di sini, dijunjung oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar dan Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.


DYTM seterusnya mengurniakan sabda perasmian Ekspo dan Persidangaan PMKS Kali Pertama dan Pameran Brunei China-ASEAN Exposition (CAEXPO) 2017 yang dianjurkan bersama Jabatan Tenaga dan Perindustrian di JPM, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKED), Darussalam Enterprise (DARe) dan Wilayah Autonomous Guangxi Republik Rakyat China.


Sejurus perasmian itu, DYTM berkenan melancarkan laman sesawang BusinessBN dan Made in Brunei yang mana portal ini menyediakan keseluruhan perkhidmatan dan maklumat terkini kerajaan yang menghubungkan perniagaan masyarakat tempatan dan antarabangsa juga bakal usahawan dalam menjalankan perniagaan di negara ini.


Inisiatif Made in Brunei yang dilaksanakan oleh DARe adalah untuk memberi kesedaran dalam dan luar negara dimana negara ini juga mampu menghasilkan produk-produk yang berkualiti tinggi.


DYTM seterusnya dijunjung dan berkenan menyaksikan Ekspo dan Persidangaan Inovasi PMKS Kali Pertama dan Pameran Brunei China-ASEAN Exposition (CAEXPO) 2017 di Dewan 1 dan Dewan 2 Bridex sebelum berangkat meninggalkan majlis.


Kira-kira 200 petak jualan yang terdiri dari PMKS tempatan mengambil bahagian dalam mempamerkan produk dan perkhidmatan pasaran Made in Brunei mereka seperti makanan, kedai roti dan farmaseutikal selain disertai oleh sektor ICT, kosmetik, fesyen dan pakaian serta pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh PMKS tempatan.


Ini termasuklah 31 petak jualan dari Majlis Perundingan Kampung (MPK) di keempat-empat daerah yang mempamerkan Satu Kampung Satu Produk mereka dan juga beberapa syarikat dari Sabah, Sarawak, Viet Nam, Indonesia dan juga China.


Ekspo yang julung-julung kalinya diadakan tersebut turut menyediakan platform untuk PMKS tempatan dalam mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka di samping memberi peluang mereka untuk berkembang melalui strategi pemasaran dan pembungkusan yang terbaik dalam mempamerkan produk supaya pengguna dan pembeli akan memilih untuk menyokong produk tempatan.


Pasaran Made in Brunei juga memberi peluang kepada bakal pelabur dan pengedar yang menghadiri pameran tersebut untuk bertemu rakan-rakan perniagaan yang lain dan membantu syarikat tempatan berkembang dan meningkatkan lagi potensi eksport ke luar negara.


Ekspo berkenaan dibukakan bagi kunjungan orang ramai selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Mei 2017 bermula 10.30 pagi hingga 10.00 malam.


Sebarang keterangan lanjut mengenai Pasaran Made in Brunei bolehlah melayari laman sesawang di www.mibf.gov.bn atau instagram: @eidpmo atau menghubungi terus talian +673 2384488 sambungan 1050.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments