Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
25.03.17 Sambutan Ulang Tahun Perbadanan TAIB ke 25 Tahun

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Ulang Tahun Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) yang Ke-25 Tahun yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman selaku Penasihat Perbadanan TAIB; dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.

Sejurus keberangkatan tiba di Dewan Plenari pusat berkenaan, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dimainkan dan disusuli dengan bacaan ayat suci Al-Quran dari pelajar Tahun 8, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Muhammad Azib bin Muhammad Azim manakala tafsirannya dibacakan oleh Awang Muhammad Fawwaz bin Daud.

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

Yang Berhormat antara lain menyembahkan, landskap perbankan telah berkembang dengan pesatnya, bagi menempuhi daya evolusi seperti perubahan ekspektasi pelanggan, kawalan selia pihak-pihak berkuasa yang perlu dipatuhi, teknologi, demografi, saingan baru, perkembangan produk dalam dan luar negeri dan perubahan ekonomi global dan tempatan, di mana untuk kekal memberi perkhidmatan yang sama bukanlah menjadi pilihan.

Yang Berhormat menambah, Perbadanan TAIB tidak dapat 'complacent' dan perlu mencorak langkah strategi selaras dengan perkembangan semasa demi untuk terus memperkukuhkan Perbadanan TAIB sebagai institusi Kewangan Islam yang unggul di negara ini.

Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah.

Majlis diteruskan dengan menyaksikan tayangan video korporat  yang memperlihatkan 25 tahun pencapaian perbadanan berkenaan.

Baginda kemudiannya berkenan dijunjung bagi menyempurnakan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan 25 Tahun kepada 17 penerima yang terdiri pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan Anugerah Program Usahawan kepada 10 peserta terbaik yang telah menyertai Pertandingan Perbadanan TAIB Cabaran Keusahawanan.

Bagi memberkati majlis, bacaan Doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Baginda dan kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat ke Pameran Perbadanan TAIB dan juga berkenan menyempurnakan pelancaran kad As-Salam dari Darussalam Holdings Sdn. Bhd.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, baginda berkenan menyertai  sesi bergambar ramai bersama Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB dan penerima Anugerah Perkhidmatan 25 tahun.

Perbadanan TAIB ditubuhkan dengan rasminya pada 29 September 1991 dan tarikh tersebut  merupakan detik bermulanya institusi kewangan Islam di negara ini.

Sumber Berita Pelita Brunei
Sumber Foto InfoFoto
Attachments