Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
07.03.17 Berangkat rasmikan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat merasmikan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1438 Hijrah / 2017 Masihi.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini, dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1438 Hijrah / 2017 Masihi serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

Berangkat sama, adinda DYTM, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Pada malam pertama musabaqah berkenaan, DYTM berkenan mengurniakan sabda.

Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan Musabaqah Membaca Al-Quran ini dimulakan di setiap Peringkat Zon / Daerah untuk dipilih menyertai Peringkat Suku Akhir dengan memperolehi markah 75 peratus ke atas.

Menurut Yang Berhormat, seramai 91 orang telah terpilih memasuki Peringkat Suku Akhir yang terdiri daripada 68 qari dan 23 qariah.

Dari jumlah tersebut, Yang Berhormat menjelaskan, seramai 57 peserta iaitu 40 qari dan 17 qariah telah bertanding di Peringkat Separuh Akhir.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menyembahkan, bahawa pada tahun ini jawatankuasa musabaqah telah mendatangkan tiga qari jemputan iaitu seorang dari Republik Arab Mesir dan dua orang dari Republik Indonesia, seorang daripadanya adalah qari remaja.

''Seorang lagi untuk menganggotai Panel Hakim Musabaqah dan untuk mengongsikan ilmu dan kemahiran mereka membaca Al-Quran dengan bacaan yang bermutu tinggi melalui bengkel yang diadakan serta mempersembahkan bacaan dalam tiga malam majlis musabaqah itu,'' jelas Yang Berhormat.

Seramai dua qari iaitu Awang Mohammad bin Ali, Haji Awang Muhd. Fikri bin Awang Metussin dan dua qariah, Dayang Norezah binti Haji Md. Deli dan Dayang Siti Huzaimah Yadey binti Haji Rosli memperdengarkan bacaan Al-Quran mereka.

Majlis juga disemarakkan dengan persembahan bacaan Al-Quran daripada qari jemputan remaja dari Republik Indonesia, Muhamad Miftah Farid.

Musabaqah akan diteruskan malam esok dengan lapan peserta yang akan memperdengarkan bacaan mereka.

Tema Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir tahun ini ialah 'Al-Quran Temanku Menceriakan Hidupku'.

Sumber Berita Pelita Brunei
Sumber Foto InfoFoto
Attachments