Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
08.03.17 Pengeluaran minyak negara dijangka 134,000 tong sehari

Pada tahun ini, pengeluaran minyak negara dijangkakan sebanyak 134,000 tong sehari berbanding dengan 139,000 tong sehari pada tahun 2016.
 
Penurunan ini antara lain disebabkan oleh 'natural decline', penangguhan (deferment) serta komitmen negara kepada OPEC.
 
Sementara itu, pada tahun 2016, sektor minyak dan gas berjaya meningkatkan jumlah keseluruhan sumber dan rizab minyak sebanyak 94 juta BOE, yang meningkatkan jangka hayat rizab minyak dan gas ke tahap 53 tahun.
 
Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar semasa menyampaikan mukadimahnya bagi Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) seterusnya menyatakan peranan utama sektor tenaga adalah untuk memastikan khazanah hidrokarbon negara dimajukan secara berdaya tahan.
 
Mengenai sumber tenaga yang diperbaharui, Yang Berhormat menjelaskan, satu projek solar berskala besar akan dikendalikan di Daerah Temburong bagi menggantikan Jana Kuasa Stesen Belingos yang beroperasi menggunakan diesel.
 
Projek tersebut menurutnya akan dijangka siap bagi fasa pertama dalam tahun ini yang mana akan memberikan penjimatan sebanyak 23 peratus pada fasa pertama.
 
Dalam hal perkhidmatan elektrik pula, Yang Berhormat menjelaskan, beberapa inisiatif telah dibuat dalam peningkatan reliabiliti tenaga elektrik termasuk pengurangan 67 peratus gangguan elektrik sejak 2010.
 
“Sejak pengenalan reformasi ‘tariff’ bagi perumahan pada 2011, penggunaan tenaga telah menurun sebanyak 12 peratus dan penurunan ini kalau kita lihat daripada segi pertumbuhan keperluan tenaga ini dalam 4 peratus adalah sangat signifikan. Amalan penjimatan elektrik juga diteruskan di bangunan-bangunan kerajaan yang telah menjimatkan sebanyak BND16 juta setahun.
 
Tunggakan juga semakin menurun, dan kaola juga ingin memaklumkan bahawa hala tuju operasi bagi JPE adalah bagi sektor ‘generation’ diswastakan melalui pemindahan aset ke dalam Darussalam Assets dalam masa yang terdekat ini," terang Yang Berhormat pada hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-13 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
 
Bagi sektor perindustrian, isu Pelaburan Langsung Asing (FDI) katanya, sudah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua) dalam mukadimahnya yang mana FDI tersebut akan memainkan peranan penting dengan penjanaan kesan limpahan ekonomik (economic spin-off) dan peluang pekerjaan bagi PMKS tempatan.
 
Dalam hal itu, usaha akan dipertingkatkan bagi membangunkan PMKS dan seterusnya memantapkan lagi suasana ekosistem perniagaan dan meningkatkan urus tadbir koperasi.
 
Menyentuh tentang koperasi, Yang Berhormat menyatakan pada masa ini tadbir urus koperasi kurang efektif sejak beberapa tahun.
 
Kini jelasnya, hanya 69 daripada 161 koperasi yang aktif menjalankan perniagaan manakala pada tahun 2017, kerajaan akan memberi tumpuan kepada peningkatan tadbir urus koperasi membangunkan koperasi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, mengkukuhkan koperasi dengan mengenalkan 'Code of Practice dan Financial Health Clinic', Program Latihan Asas Kecekapan mulai Mac 2017 dan seterusnya menggalakkan koperasi berkecimpung dalam industri berorientasikan eksport seperti akuakultur dan madu kelulut.
 
Ke arah menangani pembangunan PMKS, Darussalam Enterprise (DARe) tegasnya, telah menjalankan beberapa program peningkatan keupayaan ‘entrepreneurship’ seperti melalui program latihan Akademi Bisness Perindustrian (IBA) bagi 842 peserta, ‘start-up bootcamp’ bagi 65 peserta, dan Skim Pembiayaan Mikro Kredit sejak Oktober 2016.
 
"Pada tahun 2017, tumpuan akan diberikan kepada memantapkan lagi suasana ekosistem PMKS seperti mana yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua) dalam mukadimahnya," terang Yang Berhormat Menteri Tenaga dan Perindustrian di JPM.
 
Menurut Yang Berhormat, inisiatif EGNC pula telah memperkukuhkan perkhidmatan dan infrastruktur guna sama kerajaan. Penggunaan One Government Network (OGN) telah mengurangkan perbelanjaan sebanyak 33.6 peratus dan perkhidmatan One Government Private Cloud telah menjimatkan kos sebanyak 42.38 peratus.
 
Pada masa yang sama, usaha sedang giat dijalankan bagi ‘capacity building’ untuk industri ICT tempatan, dengan dasar Local Business Development (LBD) yang baharu dikuatkuasakan pada 1 Mac ini dijangka akan menjana sekurang-kurangnya 25 projek IT setiap tahun. Pembangunan Perniagaan Tempatan telah menampakkan peningkatan di sektor minyak dan gas. Kandungan Perbelanjaan Tempatan telah meningkat sebanyak 40 peratus dari tahun 2010 hingga ke tahun 2016 sejak pengeluaran Arahan-Arahan Local Business Directive I dan II.
 
Setakat ini, seramai 12,966 orang yang berdaftar dalam sistem Job Centre Brunei, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,562 pencari kerja graduan katanya, akan dibantu melalui skim I-RDY dan yang selebihnya akan diserap melalui 'start-up programme' yang disarankan untuk menceburi bidang keusahawanan.
 
Manakala itu, bagi pencari kerja bukan graduan sebanyak 4,000 jawatan yang disasarkan melalui 'succession planning' dan sebanyak 3,000 lagi akan disasarkan bagi Program 'Industry Competency Framework' yang juga akan sentiasa berusaha, di samping bertawakal ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam hasrat bagi peningkatan dan pertumbuhan ekonomi negara boleh dicapai dengan kerjasama sektor awam, swasta dan orang ramai.


Sumber Berita Pelita Brunei
Sumber Foto InfoFoto

Attachments