Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
04.01.22 Keprihatinan Kebawah DYMM tinjau operasi LTAB

hm_040122.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengadakan Keberangkatan Tidak Berjadual di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi melihat secara lebih dekat pengendalian operasi serta pemedulian kebajikan termasuk aspek keselamatan yang dipraktikkan terutama sekali dalam situasi negara bergelut menangani pandemik COVID-19.

Mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa keberangkatan tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Pada keberangkatan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan berangkat meninjau Pos Pasukan Polis Diraja Brunei yang beroperasi di LTAB.

Baginda kemudian berkenan mengadakan lawatan ke Dewan Berlepas bagi menyaksikan secara lebih dekat perkhidmatan proses pengendalian laluan penumpang-penumpang yang hendak berlepas meninggalkan negara dalam memastikan keselesaan sekali gus keselamatan penumpang.

Kebawah DYMM kemudian berkenan meninjau Pusat Kawalan Operasi yang berfungsi memantau serta mengendali armada dan operasi darat di LTAB. Baginda juga berkenan mengadakan lawatan ke ruang Dewan Ketibaan sebelum berangkat ke lokasi seterusnya.

Sejak beroperasi pada tahun 1974, LTAB menyaksikan pelbagai perkembangan dan berperanan penting ke arah pertumbuhan ekonomi negara dan sebagai salah satu pintu masuk utama pelancong-pelancong ke negara ini.

Bagi menampung peningkatan penumpang yang dianggarkan meningkat, LTAB telah melaksanakan pembinaan tambahan bahagian-bahagian utama serta melaksanakan Projek Modenisasi Terminal LTAB yang memberi perubahan yang ketara dalam memberikan perkhidmatan yang lebih efisien dan memberikan keselesaan kepada pengguna-pengguna terutama sekali penumpang-penumpang yang menggunakan LTAB.

Kemudahan serta keselesaan terus diberikan dengan terbinanya Surau LTAB untuk pengunjung-pengunjung menunaikan ibadat.

Dari LTAB, Kebawah DYMM berkenan meneruskan keberangkatan ke Kompleks Setia Kenangan, Kiulap bagi meninjau lebih dekat lagi fungsi dan peranan Khidmat Teknikal Diraja Brunei (RBTS). RBTS merupakan Syarikat Berkaitan Kerajaan yang ditubuhkan di Negara Brunei Darussalam sejak tahun 1988.

RBTS terus berkembang pesat dan berhasrat untuk membina keupayaannya dengan begitu ketara dalam beberapa tahun akan datang melalui pertumbuhan organik dan pakatan strategik.

Dengan hubungan kukuh dalam industri pertahanan dan keselamatan di seluruh dunia, peranan mereka berkembang dan menjadikan perniagaan teras mereka sebagai penyedia Perkhidmatan Pengurusan Kitaran Hayat.

Juga hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abd. Rahman yang juga selaku Pengerusi RBTS.

Semasa keberangkatan di RBTS, baginda sempat meninjau ruang-ruang pejabat termasuk Bahagian Business and Development serta Bahagian Audit and Client Marketing.

Terdahulu sebelum berangkat ke ruangan pejabat RBTS, baginda sempat membuat tinjauan ke kaunter-kaunter operasi Cawangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

BIBD merupakan bank terbesar di Negara Brunei Darussalam dan institusi kewangan Islam utama yang telah ditubuhkan pada tahun 2005 melalui penggabungan Bank Islam Brunei dan Bank Pembangunan Islam Brunei.

BIBD merupakan sebuah institusi kewangan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dikawal oleh amalan terbaik global di bawah bimbingan pasukan pengurusan yang berpengalaman.

BIBD komited untuk memenuhi keperluan pelanggan dari semua lapisan masyarakat melalui perkhidmatan berterusan, inovasi produk dan teknologi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments