Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
25.10.21 Berganding bahu, pulih bersama, bangkit lebih kuat

hm_251021.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN bagi Tahun 2021 bertitah berharap sektor swasta dan sektor awam akan terus berganding bahu agar rantau ini dapat pulih bersama dan dapat bangkit lebih kuat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menerusi rakaman video pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ASEAN Business and and Investment Summit - ABIS) 2021.

Baginda bertitah menyatakan bahawa dengan pandemik yang masih berterusan, ekonomi global kekal rapuh dan tidak menentu.

Dalam menangani krisis ini titah baginda, adalah lebih penting bagi ASEAN dan rakan-rakan dialognya untuk meningkatkan perpaduan dan kerjasama serta menggalakkan penglibatan berterusan di antara sektor swasta dan sektor awam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menegaskan bahawa sebagai Pengerusi ASEAN bagi Tahun 2021, Negara Brunei Darussalam diberikan penghormatan untuk memimpin rantau ini ke arah pemulihan ekonomi.

Dengan tema 'We Care, We Prepare, We Prosper' titah baginda lagi, ASEAN menekankan komitmen ASEAN secara kolektif dalam menjaga penduduknya dan bersedia menghadapi cabaran dan peluang masa depan dengan matlamat memastikan seluruh Komuniti ASEAN boleh makmur secara mampan.

Kebawah DYMM juga menyentuh mengenai bagaimana 13 Priority Economic Deliverables (PEDs) bagi Negara Brunei Darussalam dapat menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi, antara lainnya melalui pemanfaatan teknologi terkini dan pendigitalan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lestari di ASEAN.

Penandatanganan perjanjian Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) pada tahun lepas menunjukkan usaha bersepadu ASEAN ke arah memajukan kerjasama perdagangan antarabangsa dan pemulihan serantau.

Baginda menambah bahawa Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN akan menyediakan platform untuk penggubal dasar dan pihak berkepentingan yang lain untuk berbincang, mengongsikan pengalaman dan bekerjasama dalam cara-cara membolehkan perniagaan untuk menjadi lebih mampan dan berdaya tahan menghadapi kejutan masa depan.

Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN merupakan Forum Tahunan Perdana Asia Tenggara yang mengumpulkan Para Pemimpin, Para Presiden, Perdana Menteri-Perdana Menteri serta komuniti perniagaan Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS) dan Rakan-Rakan Dialog ASEAN.

Sebagai salah satu acara rasmi ASEAN, ia merupakan satu platform untuk membincangkan isu-isu utama yang dihadapi dan ditangani oleh rantau ini serta untuk membincangkan cara-cara untuk memastikan peluang-peluang ekonomi di ASEAN berkembang secara lestari dan inklusif.

Tema sidang pada tahun ini, iaitu 'Building Our Sustainable Digital Future', akan memberi tumpuan kepada usaha bersama membina semula dengan lebih baik dan pemulihan yang kukuh.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments