Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
24.09.21 Sidang Kemuncak Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021

dm_240921.jpg

Agenda keselamatan makanan kekal penting dan menjadi perhatian utama bagi semua terutamanya semasa menghadapi pandemik yang telah memberikan tekanan terhadap sistem makanan global. Usaha bersepadu perlu dipercepatkan untuk memastikan sistem makanan yang lebih adil, lestari dan berdaya tahan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Yang Berdaya Tahan (Sustainable Development Goals, SDG) menjelang 2030. Perkara ini dinyatakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, semasa menyampaikan kenyataan di Sidang Kemuncak Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN FSS) 2021, secara maya, pada 24 September 2021.

Yang Berhormat Dato menekankan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam mengukuhkan sistem pemakanan dengan mempercepatkan pertumbuhan pengeluaran sektor pertanian dan perikanan; mempromosi pelaburan langsung domestik dan asing; dan meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport.

Sejajar dengan komitmen ini dan keutamaan yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Ekonomi, Yang Berhormat Dato menambah bahawa Peta Jalan bagi Sektor Industri Makanan (Food Sector Roadmap) telah disediakan dengan matlamat bagi meningkatkan pengeluaran makanan yang selamat, halal, dan berkualiti tinggi dan di samping itu, mengukuhkan rantaian nilai sistem makanan. Antara lain, inisiatif-inisiatif strategik yang digariskan dalam peta jalan adalah untuk meningkatkan pengeluaran; mempromosikan aktiviti bernilai tinggi; menyediakan infrastruktur industri yang kondusif; meningkatkan jumlah dan nilai eksport dengan meningkatkan daya saing perniagaan dengan akses yang lebih baik ke pasaran antarabangsa; meningkatkan industri pemprosesan makanan dengan memanfaatkan rantaian nilai sub-serantau dan serantau dalam mendapatkan bahan mentah yang menjimatkan kos; dan untuk memastikan persekitaran yang lestari dengan mendorong komuniti-komuniti perniagaan untuk menerapkan amalan hijau melalui pemulihan dan penjanaan semula sumber.

Sebagai kesimpulan, Yang Berhormat Dato menyatakan harapan bahawa usaha Negara Brunei Darussalam yang berterusan akan memastikan sistem makanan tetap kukuh dan lestari, walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan. Perkara ini memerlukan usaha bersepadu bukan hanya di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa. Oleh itu, Negara Brunei Darussalam berharap akan dapat sama-sama melaksanakan pelbagai inisiatif dari Sidang Kemuncak Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini untuk mencapai Agenda 2030.

Sidang Kemuncak tersebut mengumpulkan semua Negara-Negara Anggota dan konstituen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di seluruh dunia. Pembukaan rasmi dimulai dengan ucapan daripada Tuan Yang Terutama António Guterres, Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pelbagai sesi telah diadakan yang menampilkan Kenyataan daripada Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan, komitmen pelbagai pihak untuk bertindak, suara konstituen, dan orang-orang terkemuka untuk membawa perubahan positif pada sistem makanan sedunia.

Siaran Akhbar: Jabatan Perdana Menteri

Attachments