Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
10.09.21 CAEXPO kukuhkan hubungan ekonomi ASEAN dan China

hm_100921.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyatakan bahawa 18 tahun semenjak diperkenalkan, Ekspo China - ASEAN (CAEXPO) terus menjadi platform penting untuk mempromosi perdagangan, pelaburan, pelancongan dan mengukuhkan hubungan ekonomi antara ASEAN dan China. 

Dalam hubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yakin dengan acara-acara seperti ini, akan dapat terus menjadikan China sebuah destinasi yang menarik bagi pengeksportan produk-produk ASEAN dan membantu meningkatkan hubungan perdagangan dan mengekalkan posisi China sebagai rakan dagang nombor satu ASEAN. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2021, bertitah demikian semasa menyampaikan titah khas menerusi video rakaman semasa Majlis Pembukaan 18th CAEXPO di Nanning, Republik Rakyat China. 

Terdahulu, baginda bertitah menyatakan bahawa tahun ini merupakan tonggak sejarah hubungan dengan Republik Rakyat China bagi menandakan ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-China, dan juga ulang tahun ke-30 jalinan hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China. 

Meskipun pandemik COVID-19 masih berterusan dan memberikan kesan kepada aktiviti perekonomian di seluruh dunia, jelas baginda, ASEAN dan China mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan barang dagangan pada tahun 2020, mempertahankan kedudukan China sebagai rakan dagang nombor satu ASEAN. 

Penekanan pertalian ekonomi dan perniagaan yang kukuh, titah baginda, mempamerkan hubungan lama antara ASEAN dan China. 

Menurut titah baginda, BRI (Belt and Road Initiative) adalah pelan yang signifikan bagi meningkatkan hubungan serantau untuk menyatupadukan negara-negara. 

"BRI dapat memberikan peluang bagi negara-negara untuk bekerjasama di pelbagai bidang dan menerusi platform sub-serantau seperti BIMP-EAGA, akan dapat menyumbang kepada revitalisasi ekonomi negara secara inklusif," titah baginda. 

Pemimpin-pemimpin dari Negara-negara Anggota ASEAN dan Republik Islam Pakistan juga menyampaikan ucapan menerusi video rakaman semasa Majlis Pembukaan 18th CAEXPO di Nanning. 

CAEXPO yang Ke-18 tahun ini diadakan dari 10 hingga 13 September 2021 dengan membawa tema 'Advancing Quality Belt and Road Initiative (BRI) Cooperation, Promoting Sustainable Development'. 

CAEXPO telah mewujudkan platform pertukaran yang cekap dan pragmatik bagi China dan negara-negara ASEAN untuk bekerjasama di dalam beberapa bidang tertentu yang berdasarkan kepada keutamaan pembangunan yang strategik menerusi persidangan dan forum peringkat tinggi.

Sepanjang 17 tahun yang lalu, lebih daripada 200 forum dan persidangan peringkat tinggi telah diadakan secara sampingan, membincangkan pelbagai bidang penting dalam strategi pembangunan China dan negara-negara ASEAN.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments