Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
30.04.21 Berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara

hm_300421.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1442 Hijrah / 2021 Masihi. 

Majlis berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini. 

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Pusat Persidangan Antarabangsa dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1442H; Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar. 

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. 

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1442H dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan. 

Ini, diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1442H. 

Majlis, kemudiannya diikuti dengan pengurniaan Titah Kebawah DYMM sempena Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1442 Hijrah / 2021 Masihi. 

Sejurus selepas itu, diteruskan dengan Pemakluman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1442H / 2021M, yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd. Salleh selaku Pengerusi Jemaah Hakim. 

Johan bagi Kategori 'A' disandang oleh Dayang Nurul 'Aliyah Amani binti Muhammad Al-Ameen; naib johan dan tempat ketiga, masing-masing dimenangi oleh Dayang Nur Sofiyyah Solehah binti Mohammd Fikri; dan Dayang Sharifah Ayesha Al-Insyirah binti Shaikh Sharul Azhar.

Seterusnya johan bagi Kategori 'B' diraih oleh Dayang Nuramal Shofiyyah binti Irma Shukrin; naib johan pula dimenangi oleh Dayang Siti Nur Darwisyah binti Sabli; dan pemenang tempat ketiga ialah Awang Abdul Qawiy bin Haji Mat Yamin. 

Manakala bagi Kategori 'C', johan disandang oleh Awang Haji Julazni bin Haji Zaini; naib johan dimenangi oleh Awang Muhammad Faiz Najwan bin Muhammad Saleh; dan Dayang Nur Izzy Aziah binti Ahmad mendapat tempat ketiga. 

Kategori 'D' pula, johan disandang oleh Awang Muhammad Azib bin Muhammad Azim, sementara Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin menyandang naib johan; dan tempat ketiga ialah Awang Ahmad Hamizan @ Ahmad Aliridha bin Haji Laidin. 

Bagi Kategori 'E', johan disandang oleh Dayang Aqilah binti Haji Ayop; naib johan, Awangku Muhammad Abdul Qadir bin Pengiran Haji Ibrahim; dan Awang Muhammad Faturrahman bin Awang Embran di tempat ketiga.

Acara diteruskan lagi dengan Persembahan Peserta Terbaik Setiap Kategori Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1442H. 

Pada majlis tersebut, Kebawah DYMM berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1442H. 

Johan bagi Kategori 'A' menerima hadiah wang tunai BND1,500; naib johan BND1,000; dan tempat ketiga pula menerima hadiah wang tunai BND750. 

Manakala johan bagi Kategori 'B' menerima hadiah wang tunai sebanyak BND2,000; naib johan BND1,500; dan tempat ketiga menerima wang tunai BND1,200. 

Sementara johan bagi Kategori 'C' menerima hadiah wang tunai BND2,800; naib johan BND2,000; dan tempat ketiga menerima wang tunai BND1,500. 

Kategori 'D', johan menerima hadiah wang tunai BND3,500; naib johan BND2,500; dan tempat ketiga menerima wang tunai BND2,000. 

Seterusnya, bagi kategori 'E' menerima hadiah wang tunai BND5,000; naib johan BND3,500; dan tempat ketiga menerima wang tunai BND2,500. 

Bagi memohon keberkatan dan rahmat pada majlis yang berkebajikan ini, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan. 

Tema Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1442 Hijrah ialah 'Al-Quran Asas dan Pemangkin Pembangunan Negara'. 

Tema ini, antara lain menggariskan mengenai pembangun urusan dunia merupakan salah satu Fardu Kifayah yang dituntut ke atas umat Islam kerana banyak prasarana yang diperlukan dalam kehidupan manusia untuk meraih 'al-falah', iaitu kejayaan di dunia dan akhirat juga memelihara kesejahteraan umat sejagat yang meliputi kecukupan fizikal manusia dan ketenangan hidup yang dapat ditemukan melalui keseimbangan keperluan material juga keperluan rohani manusia. 

Untuk mencapai keseimbangan dalam melaksanakan Fardu Kifayah ini agar ia sejajar dengan Maqasid Syariah dan menjadi ibadah, maka satu landasan yang betul tersedia di dalam kitab yang 'syumul', 'kalam Allah Al-Quranul Karim'. 

Tidak diragukan lagi pembangunan yang berlandaskan Al-Quran adalah sangat jitu kerana Al-Quran ialah sumber ilmu dalam berbagai variasi untuk kegunaan seluruh kehidupan yang padat dengan fakta, pengetahuan, pengajaran, kisah teladan, iktibar dan panduan yang penuh dengan peringatan. 

Allah memberi jaminan kepada manusia yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan nasihat akan mendapat keberkatan dengan kemanisan takwa juga iman di dunia dan akhirat. 

Dalam kesimpulannya, Al-Quran adalah asas dan faktor utama yang menyumbang pada pemerkasaan pembangunan. Pembangunan yang selaras dengan tabiat semula jadi manusia sebagaimana Allah menciptakannya adalah pembangunan yang seimbang dalam keperluan material, fizikal dan spiritual. 

Maka, peganglah pengajaran Al-Quran sebagai modal dalam pembangunan negara kerana ia akan memberikan 'natijah' yang baik dan indikator yang penting dalam menentukan tahap pemerkasaan pembangunan negara agar sentiasa menjadi Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments