Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
06.04.21 Komited realisasikan pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat

dpmm_060421.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat-Syarikat Usahasama Brunei Shell (BSJV) berkenan berangkat ke Majlis Pembukaan Rasmi Seria Energy Lab (sebelum ini dinamakan Oil and Gas Discovery Centre) dan Majlis Perasmian Loji Tenaga Solar Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP). 

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenaan jelas mencerminkan sokongan Duli Yang Teramat Mulia ke arah merealisasikan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negara ini, sepertimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mencapai Wawasan Brunei 2035. 

Ini merupakan pencapaian penting BSP untuk memperkukuhkan lagi sumbangannya kepada usaha Negara Brunei Darussalam (NBD) ke arah peralihan tenaga rendah karbon. 

Pelancaran Loji Tenaga Solar BSP menandakan komitmen kukuh BSP untuk mencapai kepelbagaian dan dekarbonisasi tenaga dalam menyokong sasaran negara bagi meningkatkan sumbangan tenaga yang diperbaharui kepada sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah kapasiti penjanaan tenaga menjelang tahun 2035. 

Pada masa yang sama, Seria Energy Lab, melalui Shell NXplorers yang merupakan Program Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama dengan pameran-pameran baharu, berhasrat untuk menarik minat pelajar dan belia mengenai tenaga yang diperbaharui, alam sekitar dan inovasi. 

Keberangkatan tiba DYTM di helipad, Ibu Pejabat BSP dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Ahli Lembaga Pengarah BSP; Pemangku Menteri Tenaga, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw; Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Yassin bin Haji Ahmed; dan Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Teknikal BSP, Awang Yap Kong Fah. 

Ketibaan DYTM di Seria Energy Lab dijunjung oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abd. Rahman selaku Ahli Lembaga Pengarah BSP dan pihak Pengurusan BSP yang diketuai oleh Pengarah Urusan BSP, Puan Agnete Johnsgaard-Lewis. 

Majlis Pembukaan Rasmi Seria Energy Lab berlangsung di Dewan Pameran Seria Energy Lab. 

Bagi memberkati majlis, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dibacakan oleh Ketua Hakim Syar'ie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar. 

Sejurus selepas itu, DYTM berkenan merasmikan pembukaan Seria Energy Lab dan seterusnya menyaksikan tayangan video rasmi Seria Energy Lab. 

DYTM juga berkenan menandatangani plak perasmian dan berkenan menerima pesambah daripada Puan Agnete Johnsgaard-Lewis.

DYTM dijunjung untuk menyaksikan pameran terbaharu mengenai Industri Minyak dan Gas bersama topik-topik yang memfokuskan peralihan tenaga dan tenaga yang diperbaharui. 

Seria Energy Lab adalah pusat sains yang direka untuk memupuk minat dan meningkatkan pengetahuan remaja pada masa kini tentang kepentingan tenaga yang diperbaharui sebagai pemimpin pada masa hadapan. 

Lima pameran baharu, termasuk pameran interaktif mengenai teknologi penggerudian pintar, Aqualab sebagai pameran utama yang mengetengahkan kehidupan di bawah pelantar minyak dan simulator helikopter yang memberikan pengalaman berdasarkan perkhidmatan pesawat milik BSP di Lapangan Helikopter Anduki. 

Pusat berkenaan dirasmikan pada tahun 2002 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dahulunya dikenali sebagai Oil and Gas Discovery Centre (OGDC). 

Seria Energy Lab yang diperbaharui tersebut diuruskan dan dikendalikan sepenuhnya oleh anak-anak tempatan. 

Selaras dengan peredaran semasa dunia dan hasrat NBD dalam peralihan tenaga, Seria Energy Lab direka untuk mencerminkan industri tenaga masa kini daripada sektor minyak dan gas dan tenaga yang diperbaharui. 

Pusat tersebut juga bertujuan untuk membarigakan kepentingan pengajaran interaktif dalam bidang STEM dan untuk memupuk lagi minat dalam kalangan pelajar untuk menceburkan diri dalam bidang-bidang berkenaan. 

Pusat tersebut juga adalah sebahagian daripada program di bawah Pelaburan Sosial BSP yang juga merupakan salah satu komitmen BSP untuk menyumbang kepada pembangunan negara, terutama dalam bidang pendidikan.

DYTM seterusnya berkenan menyertai majlis santap dan kemudian bergambar ramai dengan Ahli-ahli Lembaga Pengarah BSP, Pengurusan BSP dan pasukan Seria Energy Lab sebelum berkenan berangkat ke Loji Tenaga Solar BSP di G11, Seria. 

Keberangkatan tiba DYTM di Loji Tenaga Solar BSP dijunjung sekali lagi oleh Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmaddin bersama Pengarah Komersial, Awang Haji Mohammad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah; Pengurus Korporat BSP, Awang Haji Jaafar bin Haji Awang Bakar; Ketua Peralihan Tenaga BSP, Dayang Shirley Sikun; dan Ketua Pengagihan Elektrik Darat BSP, Awang Haji Madani bin Ismail. 

DYTM kemudian berkenan merasmikan pembukaan Loji Tenaga Solar BSP dan seterusnya berkenan menandatangani plak perasmian bagi mercu tanda terkini BSP, Loji Tenaga Solar Photo Voltaic BSP 3.3 Megawatt sebelum berkenan beramah mesra bersama warga kerja projek Loji Tenaga Solar. 

DYTM juga berkenan mendengar sembah taklimat mengenai Projek Loji Tenaga Solar daripada Dayang Shirley Sikun dan seterusnya dijunjung untuk menerima pesambah. 

Loji Tenaga Solar Photo Voltaic BSP 3.3 Megawatt BSP yang terletak di G11, Jalan Tengah Seria itu menggunakan teknologi panel solar yang terkini dan merupakan loji tenaga suria kedua di NBD. 

Pembinaan loji itu mengambil masa lebih kurang tujuh bulan dan hampir 7,000 panel solar dipasang di atas tanah seluas 4 hektar. 

Loji tersebut buat pertama kali menjana tenaga pada 30 Mac 2021 dan jumlah tenaga suria yang dihasilkan adalah sebanding dengan tenaga penggunaan bagi 600 isi rumah setahun dan akan mengimbangi sebahagian daripada tenaga yang digunakan oleh Ibu Pejabat BSP. 

Dalam peringkat negara, tenaga yang dihasilkan akan menyumbang kepada sasaran NBD untuk menghasilkan sejumlah 100 Megawatt tenaga yang diperbaharui menjelang tahun 2025. 

Dengan keramaian warga kerja BSP yang hampir 90 peratus terdiri daripada anak-anak tempatan, projek itu juga akan digunakan sebagai asas awal dalam mengembangkan kemahiran dan kebolehan warga kerja tempatan dalam bidang tenaga yang diperbaharui. 

Melalui projek itu, dua acara pembelajaran disampaikan di Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk menimba ilmu mengenai industri tenaga solar. 

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama DYTM dengan Ahli Lembaga Pengarah BSJV, Pegawai-pegawai Kanan dari Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, pihak Pengurusan BSP dan juga daripada ahli warga kerja projek.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments