Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
12.10.20 Berkenan adakan Lawatan Tidak Berjadual ke UNISSA
hm_121020.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengadakan Lawatan Tidak Berjadual ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Gadong, di sini.

Lawatan tersebut mencerminkan keprihatinan baginda terhadap kebajikan dan perkembangan salah satu pusat pengajian tinggi Islam yang unggul di negara ini.

Keberangkatan tiba baginda di universiti tersebut, dijunjung oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Pada lawatan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat meninjau beberapa kemudahan dan prasarana pembelajaran juga kemudahan lain, yang disediakan di universiti berkenaan, termasuk Kolej Kediaman Siswa dan Siswi UNISSA.

Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia memulakan lawatan ke Bahagian Pentadbiran dan kemudian meninjau bilik-bilik kuliah, kantin, perpustakaan, surau, dan asrama yang menempatkan 119 siswa dan 180 siswi sebelum berkenan mengurniakan titah di Auditorium universiti berkenaan.

Ditubuhkan pada 1 Januari 2007, UNISSA kini mampu berdiri dan melaksanakan amanahnya sebagai sebuah pusat pengajian tinggi Islam tulen di negara ini.

UNISSA memulakan pengajian dengan kemasukan seramai 107 penuntut pada penubuhan pertamanya, dan kini berjaya menempatkan 1,575 pelajar dalam pelbagai bidang pengajian, sama ada ijazah sarjana muda mahupun pasca sarjana, dengan purata peningkatan pelajar baharu setiap tahun sebanyak 19 peratus.

Melihat perkembangan positif itu juga, UNISSA semakin menjadi pilihan para pelajar dalam dan luar negara, di mana sehingga kini, UNISSA telah menjadi pusat pengajian kepada lebih 190 pelajar antarabangsa, dari 34 buah negara, yang mengikuti pelbagai bidang dan peringkat pengajian di universiti berkenaan dan telah berjaya melahirkan lebih daripada 1,020 graduan dalam pelbagai peringkat pengajian.

Antara pencapaiannya, UNISSA menerusi Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) dan Negara Brunei Darussalam pada 14 September lalu telah melakar detik bersejarah apabila untuk kali kedua berturut-turut mengungguli Anugerah Global Islamic Finance Award 2020 (GIFA 2020) bagi Kategori GIFA Market Leadership Award 2020 (Education in Islamic Banking and Finance), mendahului tiga calon institusi lain, di peringkat global.

Dalam agenda pengantarabangsaan pula, UNISSA menjalin kerjasama strategik bersama 74 buah institusi pengajian tinggi dan badan profesional serantau dan antarabangsa melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA), di mana dengan adanya jalinan strategik tersebut, membuka banyak peluang kerjasama sinergi dan perkongsian ilmu juga penerokaan penyelidikan.

Di samping itu, UNISSA turut menganggotai lapan pertubuhan universiti berprestij peringkat serantau dan antarabangsa, di mana penyertaan dalam pertubuhan-pertubuhan tersebut adalah bagi memastikan kualiti akademik yang ditawarkan di UNISSA setara bersama universiti-universiti lainnya, di peringkat antarabangsa.

Juga hadir sepanjang Lawatan Tidak Berjadual Kebawah DYMM ke universiti berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; bersama Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media), Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments