Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
07.03.20 DPMM tinjau HMAS Dechaineux



Kapal Selam Australian Collins Class iaitu HMAS Dechaineux menjadi tumpuan Lawatan Kerja Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

HMAS Dechaineux merupakan kapal selam pertama yang berlabuh di Negara Brunei Darussalam bermula pada 7 hingga 9 Mac ini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Dermaga Komersial Muara dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nicola Rosenblum; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah; Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera dan Pemerintah Angkatan Bersama; serta Pemerintah Laut Royal Australian Navy, Laksamana Madya Michael Noonan.

Lawatan DYTM ke kapal selam tersebut dimulakan dengan sembah taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Komander Brad Francis.

DYTM kemudiannya berkenan menaiki kapal selam dan melawat Senior Sailors Mess; Control Room; Weapon Storage Compartment; Junior Sailors Mess; Motor Generator Room; dan Machinery Control Room.
Di akhir lawatan, DYTM berkenan dijunjung bagi sesi bergambar ramai dan menerima plak juga pesambah daripada Pemerintah Laut Royal Australian Navy dan Pegawai Pemerintah HMAS Dechaineux.

Sejurus selepas itu, DYTM berkenan menganugerahkan plak kepada kedua-dua pegawai kanan berkenaan.

HMAS Dechaineux yang berpusat di Fleet Base West di Australia Barat merupakan kapal selam Collins Class Keempat yang ditauliahkan untuk perkhidmatan dalam Royal Australian Navy pada 23 Februari 2001.

Kapal selam tersebut berupaya untuk menampung sebanyak 38 pelayar dan 10 pegawai dan merupakan antara salah satu kapal selam yang pertama yang direka dengan komputer.

HMAS Dechaineux juga mempunyai beberapa ciri-ciri dan kebolehan termasuk ‘high-performance hull form’, ‘highly automated controls’, ‘high shock resistance’ dan ‘efficient weapons handling’ serta ‘discharge system’.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments