Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
09.03.20 MMN Ke-16 dirasmikan penuh istiadat



Seluruh rakyat dan penduduk di negara ini akan mula menumpukan perhatian pada isu-isu dan persoalan kepada pelaksanaan strategi bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan ke arah mempelbagaikan ekonomi negara di dalam kepentingan pembangunan generasi belia serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini dalam Musim Permesyuaratan Ke-16 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bermula pada 10 hingga 23 Mac ini.

Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-16 MMN telah berlangsung pagi tadi dan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menerima tabik hormat diraja diiringi dengan Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei dan seterusnya berkenan menerima barisan kehormatan yang terdiri daripada 108 anggota Polis Diraja Brunei diketuai oleh Pegawai Pemerintah Perbarisan, Penguasa Polis, Haji Mahran bin Haji Ahmad.

Berangkat sama ke Istiadat Pembukaan Rasmi ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

Kebawah DYMM serta ahli kerabat diraja yang lain seterusnya dijunjung berangkat ke Dewan Persidangan MMN. Baginda kemudiannya berkenan mengurniakan titah pada Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-16 MMN tersebut.

Bagi memberkati istiadat berkenaan, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Sebelum berangkat meninggalkan Bangunan Dewan Majlis, Kebawah DYMM serta kerabat diraja yang lain berkenan bagi sesi bergambar ramai bersama Ahli-ahli MMN.

Seterusnya, Persidangan MMN bersidang untuk meneliti dan mengesahkan Minit Persidangan MMN Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-15 yang telah bersidang selama 11 hari mulai 7 Mac hingga 23 Mac 2019 yang lalu.

MMN Musim Ke-16 ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara dan dibantu oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara dan Yang Mulia Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail, Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara terdiri daripada Ahli-ahli Rasmi Kerana Jawatan (Perdana Menteri dan Menteri-menteri), Ahli-ahli Yang Dilantik Orang-orang Bergelar, Ahli-ahli Yang Dilantik Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan dan Ahli-ahli Yang Dilantik Mewakili Daerah.

Persidangan MMN memasuki usia 16 tahun persidangan sejak penubuhannya semula pada tahun 2004 dan akan membincangkan dan meluluskan perkara utama iaitu Rang Undang-Undang (2020) Perbekalan, 2020/2021; untuk diguna pakai bermula pada 01 April 2020. Selain Belanjawan Tahunan, Persidangan Majlis Mesyuarat Negara juga akan membincangkan isu-isu dan cadangan-cadangan yang bermanfaat kepada Negara dan rakyat yang diteliti dan dinilai kesesuaiannya secara terperinci mengikut keperluan dan keutamaannya.

MMN telah ditubuhkan menurut Bab 23 dari Perlembagaan Negeri Brunei 1959 dan Ahli-ahlinya dilantik menurut Bab 24. MMN telah dibubarkan pada tahun 1984 dan pada 25 September 2004, Majlis ini telah mula bersidang semula. Penubuhan persidangan ini ialah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-58 Tahun pada 15 Julai 2004.

Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini akan disambung untuk bersidang pada hari Selasa, 10 Mac 2020, bermula pada pukul 9.00 pagi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments