Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
09.01.20 YSHHB sumbangkan kewangan kepada mangsa kebakaran



Selaras dengan dasar penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) terus melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.

Justeru itu, YSHHB menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah BND79,600 kepada sembilan buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Pengiran Bendahara Lama yang baru terjadi kelmarin,  berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks YSHHB, di sini.

Sumbangan daripada Yayasan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan YSHHB.

Di majlis ini juga, Kementerian Pendidikan turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar dari keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Hj Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.

Di majlis tersebut, ketua keluarga mangsa kebakaran yang menerima sumbangan daripada YSHHB ialah Dayang Hasimah binti Abdul Rahman; Dayang Norhafizah binti Haji Jaini; Awang Haji Daud bin Haji Momin; Awang Abdullah Chik bin Abdullah; Awang Haji Mohd Jefry bin Haji Mohd Ali; Awang Abdul Majeed bin Moosa; Awang Haji Tahir bin Salleh; Awang Osli bin Omar;  dan Awang Haji Mohammed Azmi bin Haji Nohi.

Sumbangan ini dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments