Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
14.01.20 Rasmikan Forum Pelancongan ASEAN 2020



Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah,  Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2020, di Indera Samudera Grand Hall, The Empire Brunei, di sini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong, selaku Pengerusi ATF 2020 Brunei Darussalam.

Sejurus keberangkatan tiba, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama para jemaah Menteri Pelancongan ASEAN yang menghadiri forum tersebut.

DYTM seterusnya dijunjung untuk menyaksikan Mini Pameran yang disembahkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Huawei Technologies (Brunei), Sendirian Berhad.

Di mini pameran tersebut, DYTM berkenan mendengar sembah taklimat daripada Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dan seterusnya berkenan menyaksikan video Virtual Reality (VR) di Ulu Temburong dengan menggunakan kaca mata VR.

Kemudian, DYTM berkenan mendengarkan sembah taklimat mengenai evolusi teknologi sejajar dengan perkembangan perkhidmatan dalam sektor pelancongan dan perancangan kementerian berkenaan mengenai percubaan 5G di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), dalam bentuk Pusat Pengalaman Pelancong (Tourist Experience Centre).

Sementara itu, dalam sembah taklimat yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (Brunei), Sendirian Berhad, Mr. Kevin Zhang menjelaskan mengenai bagaimana teknologi 5G mengubah persekitaran untuk pelancong juga lapangan terbang dan pengurusan syarikat penerbangan.

Pada majlis perasmian tersebut, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dalam sembah alu-aluannya, antara lain menyatakan, Industri Pelancongan ASEAN menyaksikan pertumbuhan yang ketara dalam dekad lalu dan terus menjadi penyumbang penting kepada pembangunan sosioekonomi di ASEAN.

ASEAN jelas Yang Berhormat, mengalu-alukan lebih 133 juta ketibaan antarabangsa pada tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak tujuh peratus daripada 2018 dan 36.7 peratus ketibaan antarabangsa pada tahun 2018 melalui perjalanan Intra-ASEAN.

Menurut Yang Berhormat lagi, peningkatan jumlah ketibaan pelancong merupakan peluang untuk ASEAN, daripada segi menjana kegiatan ekonomi, pelaburan dan pekerjaan.

Walaupun industri pelancongan menunjukkan peningkatan ketara dalam bilangan ketibaan pelancong, ujar Yang Berhormat, ia juga menghadapi cabaran, termasuk daripada segi kapasiti bawaan tapak pelancongan, juga penyediaan kemudahan dan perkhidmatan pelancongan yang dikehendaki oleh pelawat-pelawat yang berlainan kumpulan di setiap negara anggota ASEAN.

DYTM seterusnya dijunjung untuk merasmikan ATF 2020 dan Laman Sesawang Pelancongan ASEAN, dan kemudian berkenan menerima pesambah.

Laman Sesawang Pelancongan ASEAN yang baharu akan berfungsi sebagai platform sehenti untuk maklumat bersepadu bagi orang ramai mengenai produk dan aktiviti pelancongan ASEAN.

Ia diharap kan memacu lebih banyak minat ke rantau Asia Tenggara sebagai destinasi pilihan untuk mengalami budaya dan kehidupan autentik rakyat ASEAN, di mana akan memperkuatkan hubungan di antara rakyat-ke-rakyat dan memperdalam pemahaman silang budaya.

Majlis Perasmian ATF 2020 juga diserikan dengan persembahan-persembahan nyanyian dan tarian tradisional.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM juga berkenan menerima junjung daripada para delegasi yang menyertai ATF 2020.

Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah ATF 2020 bertema 'ASEAN - Bersama Ke Arah Menuju Generasi Perjalanan Akan Datang' yang berlangsung mulai 12 hingga 16 Januari ini.

Tema ATF tahun ini adalah relevan dengan apa yang dihadapi dunia hari ini, kerana ia mencerminkan cara industri pelancongan berkembang pesat.

Dalam hal ini, Pelancongan ASEAN amat mengiktiraf bahawa inovasi dan teknologi membawa faedah kepada industri pelancongan, dan membentuk cara, di mana kerajaan, pihak berkepentingan utama dan komuniti merangkumi trend semasa transformasi digital.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments