Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
13.01.20 Berkenan meninjau lebih dekat Kementerian Pembangunan



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di junjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Semasa lawatan berkenaan, baginda berkenan meninjau dengan lebih dekat serta menerima sembah penerangan mengenai beberapa bahagian di Kementerian Pembangunan iaitu Divisyen Guna Tanah, Perumahan dan Alam Sekitar, Divisyen Pengurusan Lembaga, Unit Kewangan, Divisyen Penyelarasan Polisi dan Pelan Strategik, Divisyen Pelaburan dan Undang-Undang, Unit Audit Dalaman, Divisyen Teknologi Maklumat, Divisyen Pengurusan Korporat, Pejabat Menteri dan Timbalan Menteri.

Sejurus selepas itu, baginda berkenan melawat ke Divisyen Pengurusan Lembaga yang antara lain berperanan menyelaras pendaftaran Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juru Ukur Bahan, Lembaga Penilai dan Ejen Hartanah dan Lembaga Pemaju Perumahan.

Divisyen itu juga berperanan memantau dan menguruskan rekod kelayakan dan amalan dan mendukung etika dan tatatertib bagi ketiga-tiga lembaga.

Kementerian Pembangunan merupakan peneraju dan dipertanggungjawabkan bagi sektor-sektor guna tanah, penyediaan infrastruktur dan alam sekitar serta memelihara serta memperoleh fizikal, memperbaiki fizikal dan aset-aset kerajaan. Oleh yang demikian, semua itu adalah bagi mendukung Wawasan Brunei 2035 terutamanya bagi menjana kualiti kehidupan penduduk yang tinggi.

Dalam mendukung wawasan negara itu, Kementerian Pembangunan akan terus menyediakan infrastruktur sosio-ekonomi seperti Skim Rancangan Perumahan Negara, prasarana jalan raya, perkhidmatan air bersih, pembentungan dan saliran sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan memberikan penekanan menangani isu-isu alam sekitar serta pengurusan sumber.

Dari Kementerian Pembangunan, Kebawah DYMM berkenan berangkat meneruskan lawatan ke Bahagian Jabatan Tanah, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Ukur dan Jabatan Kemajuan Perumahan.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ini bertujuan untuk memastikan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, peka terhadap isu-isu yang ditangani oleh pihak kerajaan selain berusaha mencapai serta menjayakan misi serta visi Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments