Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
17.11.19 Agama Islam, rahmat untuk sekalian alam ​



Hari Isnin pada setiap bulan Rabiulawal merupakan hari istimewa dan ditunggu-tunggu kedatangannya oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun kerana ia merupakan hari dan tarikh kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Bulan Rabiulawal juga sinonim dengan musim bunga yang menggembirakan semua orang sepertimana kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang mempunyai keperibadian mulia yang mampu menggembirakan dan menenteramkan orang yang melihat Baginda.

Perkara tersebut merupakan antara inti pati yang dinyatakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pusat Da'wah Islamiah, Haji Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang semasa menyampaikan tazkirah subuh bertajuk 'Rahmat Untuk Sekalian Alam' di Masjid Omar 'Ali Saifuddien.

Jelasnya, Rabiulawal juga sinonim dengan agama Islam, agama yang dibawakan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, agama yang secara keseluruhannya membawa rahmat dan ketenteraman kepada sekalian alam ini.

Tambahnya lagi, Allah Subhanahu Wata'ala bersifat rahmat, rasul utusan Allah disifatkan rahmat, begitu jua Al-Quran disifatkan sebagai rahmat.

Secara keseluruhannya agama Islam itu merupakan rahmat di dunia dan di akhirat.

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.

Program Masjidku Makmur Negara Berkat pada minggu ini dikendalikan oleh KHEU bersama Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan sokongan Jabatan Perdana Menteri.

Ia merupakan satu program mingguan dan ajakan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah pada awal waktu di masjid.

Program ini juga turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria, memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments