Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
29.07.19 Berangkat tiba di Kuala Lumpur



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, hari ini berangkat tiba di Kuala Lumpur, Malaysia bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI (Ke-16) yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur, esok.

Berangkat mengiringi baginda berdua ialah paduka-paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Turut berangkat mengiringi ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

Berangkat ke Pangkalan Udara Subang bagi mengalu-alukan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI (Ke-16), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Juga berangkat dan hadir bagi menjunjung baginda berdua ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Yang Amat Mulia Mejar Tengku Amir Nasser Ibrahim; dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Azmin bin Ali dan Datin Seri.

Juga hadir, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan Pengiran Datin; dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Mohd. Taha dan Datin.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri, seterusnya berkenan berangkat melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik yang terdiri daripada para anggota Batalion 1 Rejimen Renjer Diraja, Tentera Darat Malaysia.

Selepas itu, Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Agama di Istana Negara, Yang Berbahagia Dato' Ustaz Abdul Aziz bin Che Yacob.

Baginda berdua seterusnya dijunjung menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur, tempat persemayaman baginda berdua di sepanjang keberangkatan ini.

Pada awal bulan Julai lalu, Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI (Ke-16) dan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menghantar satu Warkah Persilaan kepada Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri bagi mempersilakan baginda berdua berangkat ke Istiadat Pertabalan yang akan diadakan pada satu upacara rasmi yang penuh adat istiadat diraja dan tradisi Melayu esok.

Keberangkatan baginda berdua ke Istiadat yang bersejarah ini jelas mencerminkan keakraban hubungan istimewa di antara kerabat diraja bersama rakyat Negara Brunei Darussalam dan Malaysia yang sudah sekian lama terjalin sejak berkurun lamanya, yang juga merupakan satu sejarah besar yang penting berlandaskan kepada pegangan ajaran agama Islam, ekonomi dan politik.

Malaysia mengamalkan sistem penggiliran beraja yang unik dengan memilih salah seorang raja daripada sembilan Raja Melayu Negeri untuk memegang jawatan sebagai seorang Ketua Negara (Yang di-Pertuan Agong), yang berdasarkan kepada senarai negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran sebelum ini (1957 - 1994).

Oleh itu, pada kali ini adalah giliran bagi Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019 untuk menaiki takhta kerajaan persekutuan selepas Kelantan, dan yang akan diikuti dengan Johor dan Perak.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments