Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
29.07.19 Berangkat ke Kuala Lumpur menghadiri Istiadat Pertabalan



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Kuala Lumpur, Malaysia, bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI (Ke-16), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang akan berlangsung pada 30 Julai 2019 di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Berangkat mengiringi baginda berdua ialah paduka-paduka anakanda dan adinda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat ke hadapan majlis Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah.

Berangkat sama dan hadir di Hangar Penerbangan Kebawah DYMM bagi menyembahkan selamat berangkat ke hadapan majlis baginda berdua ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; Penasihat Khas Kebawah DYMM; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; Menteri-menteri Kabinet; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; Timbalan-timbalan Menteri; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berserta isteri masing-masing.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-16 pada 31 Januari 2019 di Balairung Seri, Istana Negara di Kuala Lumpur.

Setentunya dengan keberangkatan Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja ini akan terus menghubungkan silaturahim dan persaudaraan serta kerjasama erat dan mesra yang sekian lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments