Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
24.07.19 YSHHB peduli kebajikan, keperluan OKU



Kebajikan dan kesejahteraan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Negara Brunei Darussalam terus mendapat perhatian daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).

Bagi menangani kebajikan dan keperluan golongan OKU ini, YSHHB sentiasa memberikan sokongan dan menghulurkan sumbangan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan pihak-pihak berkenaan yang memberikan khidmat pemedulian terhadap keperluan golongan OKU.

Sehubungan itu, petang tadi YSHHB menyampaikan sumbangan kepada dua buah badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan OKU iaitu Persatuan Bagi Pengurusan Autism Dalam Latihan, Pendidikan Dan Sumber (SMARTER) Brunei dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam.

Penyampaian sumbangan-sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB.

Bertempat di SMARTER Edge, Kampung Mata-Mata, YSHHB menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah BND50,000 dan peralatan belajar kepada Persatuan SMARTER Brunei yang diterima oleh Pemangku Yang Di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.

Daripada jumlah sumbangan tersebut, sebanyak 50 peratus disumbangkan kepada Persatuan SMARTER Brunei untuk mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik.  Manakala, sebanyak 50 peratus lagi adalah untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autisme daripada keluarga yang berpendapatan rendah.

Sumbangan peralatan belajar pula adalah bagi kegunaan pelajar di Pusat Persatuan SMARTER Brunei.

YSHHB telah mula memberikan sumbangan tahunan sebanyak BND50,000 setahun kepada Persatuan SMARTER Brunei dari sejak tahun 2006.

Pada tahun 2015, Yayasan juga telah menaja pembinaan lima buah bilik kelas di Pusat SMARTER, Kampung Mata-Mata.

Sementara itu, di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Bekurong pula, YSHHB turut menyumbangkan sejumlah BND50,000 dan dua buah kerusi roda kepada Pusat berkenaan.

Hadir menerima sumbangan berkenaan bagi pihak Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam ialah Pemegang Amanah Kanan (Senior Trustee), Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Alimin bin Haji Abdul Wahab.

Sumbangan kewangan tersebut adalah bagi memberi sokongan kepada pusat tersebut dalam mengendalikan perkhidmatannya manakala sumbangan kerusi roda adalah bagi keperluan pelajar di pusat tersebut.

YSHHB telah mula memberikan sumbangan tahunan sebanyak BND50,000 setahun kepada pusat berkenaan sejak tahun 2001.

Pusat Ehsan adalah sebuah badan bukan kerajaan yang berfungsi menyediakan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum.

Pada masa ini, pusat berkenaan mempunyai seramai 225 pelajar berdaftar di Kampung Bengkurong dan 53 lagi pelajar berdaftar di cawangannya di Daerah Belait.

Dalam Projek Pembangunan semula Pusat Ehsan, pusat tersebut pada masa ini sedang mengumpulkan dana bagi fasa kedua iaitu pembinaan Surau dan Kompleks Vokasional pusat berkenaan, yang mana fasa pertamanya iaitu bangunan baharu Pusat Ehsan yang telah dirasmikan pada 13 Julai 2017.

Sumbangan dan bantuan kepada agensi yang memberi khidmat kepada golongan yang memerlukan ini adalah sebahagian daripada komitmen YSHHB sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat di samping membawa kepada pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Majlis diteruskan dengan lawatan kerja ke dua-dua Pusat berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan serta para pegawai YSHHB.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments