Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
31.05.19 Majlis Doa Kesyukuran HUT ABDB Ke-58



Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) kini menjangkau usianya ke-58 Tahun dan sekali lagi, sambutannya jatuh dalam bulan suci Ramadan Al-Mubarak.

Sehubungan itu, Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB yang ke-58 diadakan hari ini dan diserikan lagi dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di sini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Surau Ad-Difa', Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dari Surah As-Saff bermula dari ayat 10 sehingga 14 yang dibacakan oleh Leftenan Muhammad Hadayatullah Sunazul Fikrar bin Suip (Al-Hafiz).

Selepas itu, acara diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil dipimpin oleh Imam Surau Ad-Difa', Awang Syu'aib @Suhif bin Haji Abdullah.

Sementara Doa Kesyukuran pula dibacakan oleh Ketua Jabatan Agama ABDB, Komander Awang Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM juga berkenan menerima junjung ziarah daripada mereka yang hadir yang diikuti dengan penandatanganan lembaran kenangan serta sesi bergambar ramai.

Turut hadir, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri  Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pemerintah-pemerintah Tentera dan Pemerintah Angkatan Bersama; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; Pengarah-pengarah; Komandan-komandan; Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB serta para jemputan khas termasuk mantan-mantan Timbalan Menteri Pertahanan dan Pemerintah ABDB.

Di samping itu, majlis yang sama juga diadakan secara serentak di semua surau-surau garison dan kem ABDB.

Tema Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB pada tahun ini ialah 'Bersama Menjayakan Wawasan Negara', dengan upacara kemuncak sambutan yang akan diadakan di Bolkiah Garison pada 30 Jun. 

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments