Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
09.06.19 102,621 junjung ziarah di Istana Terbuka



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1440 Hijrah bersamaan 2019 Masihi pada hari terakhir Istana Nurul Iman dibukakan bagi kunjungan orang ramai.

Seramai 15,274 orang terdiri daripada pelbagai lapisan rakyat dan penduduk di negara ini tidak melepaskan peluang berkunjung ke Istana Nurul Iman pada sebelah petang hari ketiga istana dibukakan.

Pada keseluruhannya, seramai 102,621 orang berkunjung selama tiga hari Istana Terbuka bagi menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan kerabat diraja.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah daripada pengunjung lelaki.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah serta kerabat diraja yang lain.

Sementara itu, di ruang lain Istana Nurul Iman, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima junjung ziarah daripada pengunjung wanita.

Juga berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah binti Dato Haji Nasir; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Norhayati binti Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abdul Rahman; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta cucunda-cucunda Kebawah DYMM.

Antara yang berkunjung ke Istana Terbuka tersebut, terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; belia-belia yang berdaftar di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; saudara-saudara baharu; warga emas; golongan kurang upaya; remaja; dan kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang junjung ziarah dan menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, junjung ziarah seumpama itu juga tidak dilepaskan oleh para pengunjung dari negara jiran terdekat juga warga asing yang bekerja di negara ini dan para pelancong.

Tradisi junjung ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri ini sangat unik berbanding negara-negara lain, di mana pengunjung turut dijamu dengan pelbagai juadah, dan diberikan cenderahati kotak kuning berisi kuih-muih bersama kad hari Raya Khas yang memaparkan potret Kebawah DYMM sebagai tanda kenangan berkunjung ke Istana Terbuka, tidak mengira bangsa dan rupa, semua boleh menikmati hidangan dan menerima cenderahati yang disediakan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments