Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
08.06.19 37,434 pengunjung meriahkan hari kedua Istana Nurul Iman dibuka



Seluruh lapisan masyarakat di negara ini sememangnya menantikan peluang untuk bersua muka bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat diraja yang lain.

Terutama pada Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman, saat menjunjung ziarah bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja yang lain membuktikan kemesraan di antara raja dan rakyat yang jarang kita saksikan di negara lain.

Hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan meneruskan Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah bagi pengunjung lelaki dan wanita secara berasingan bagi sesi sebelah petang hari kedua Istana Nurul Iman dibuka bagi kunjungan orang ramai.

Berangkat bersama Kebawah DYMM bagi menerima junjung ziarah pengunjung lelaki ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah serta kerabat diraja yang lain.

Manakala di ruang lain Istana Nurul Iman, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah pengunjung perempuan.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Norhayati binti Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abdul Rahman; puteri-puteri Kebawah DYMM, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Juga berangkat, paduka-paduka adinda baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam bersama cucunda-cucunda baginda dan kerabat diraja yang lain.

Pada sebelah petang sahaja, sejumlah 17,241 orang pengunjung menjunjung ziarah ke hadapan majlis Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri untuk menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri menjadikan jumlah keseluruhan pengunjung hari kedua Istana Nurul Iman dibuka ialah 37,434 orang.

Antara pengunjung yang mengadap dan menjunjung ziarah ke hadapan majlis Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain terdiri daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pegawai dan kakitangan syarikat swasta, warga emas, kanak-kanak, para pelancong juga pekerja-pekerja asing yang bertugas di negara ini.

Berkongsi kegembiraan dalam suasana yang ceria dengan mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang, agama, budaya yang berbeza, setentunya memeriahkan suasana Aidilfitri bersama rakyat dan penduduk di negara ini.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments