Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
18.04.19 Pertahankan agama Allah



Masyarakat Brunei yang terdiri daripada pelbagai kaum dan puak disaran agar sentiasa hidup harmoni dengan saling menjaga hubungan silaturahim sebagaimana yang sangat ditekankan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam mendukung negara ini untuk lebih maju dan lebih teguh juga kekal sebagai sebuah negara.

Saranan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud semasa memberikan Ucapan Khas pada Program Muzakarah Penerangan (PMP) bagi Mukim Amo, Daerah Temburong, berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, di sini.

Yang Berhormat seterusnya berkata, ketika kita atau negara menghadapi masalah dalam apapun keadaan, kita disarankan untuk sama-sama tegak dan bersatu padu menghadapi segala apa jua cemuhan yang diberikan kepada kita, jangan undur, malah jangan khuatir kerana janji Allah kepada siapa sahaja yang menjalankan dan taat kepada hukum Allah akan diberikan-Nya perlindungan yang sebaik-baiknya.

"Sebagaimana firman Allah, jika kamu membela Allah dan agama-Nya dan hukum-hakam-Nya, maka Allah akan membela dan mempertahankan kamu, malahan mengekalkan dan menguatkan pendirian kamu dan kedudukan kamu. Pegang itu satu, jangan khuatir! Dan yang kedua, jika kamu menurut Allah dan mempertahankan agama-Nya, maka tiada ada sesiapa yang boleh mengalahkan kamu, itulah nikmatnya kita sebagai sebuah negara yang sentiasa berpegang teguh kepada hukum Allah, kerana bahawasanya janji Allah itu adalah benar,'' tegas Yang Berhormat.

Menyentuh mengenai PMP anjuran Jabatan Penerangan ini, Yang Berhormat menjelaskan, PMP merupakan satu inisiatif atau langkah yang menunjukkan bahawa kita benar-benar bersemangat dalam mempelbagaikan usaha untuk mendukung dan memelihara negara kita, iaitu Negara Brunei Darussalam.

Negara Brunei Darussalam, ujar YB, adalah sebuah negara yang memelihara kedudukannya sebagai negara Melayu Islam Beraja (MIB) dan dalam mengamalkan MIB itu, maka kedudukan raja sebagai ketua negara tidak ada tembok pemisah di antara raja dengan rakyat, di mana baginda memerintah di atas landasan-landasan yang tepat dan betul tanpa membezakan mana-mana puak dengan pegangan juga adab dan tradisinya.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments