Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
23.04.19 Menerima mengadap pembesar luar negara



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak selaku Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Islam Sarawak, Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi.

Menyertai bersama Yang Berhormat pada Majlis Mengadap tersebut ialah Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Yang Berbahagia Datu Haji Misnu bin Haji Taha; Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin; Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Yang Berbahagia Datu Abang Haji Mohd Shibli bin Haji Abang Mohd Nailie; dan Ketua Hakim Syar'ie, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Yang Amat Arif Tuan Haji Awang Suhaili bin Ledi.

Juga hadir di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syar'ie, Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM juga berkenan menerima mengadap, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Kentaro Sonoura.

Tuan Yang Terutama dan rombongan berada di negara ini dalam rangka lawatan kerja selama dua hari yang antaranya bertujuan bagi mengeratkan lagi kerjasama kedua-dua buah negara, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama yang berkaitan dengan hubungan dua hala dan serantau.

Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun telah terjalin pada 2 April 1984. Sejak itu, kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas dalam pelbagai bidang bukan sahaja dalam bidang tenaga dan pelaburan tetapi juga pendidikan dan pertukaran dari segi belia dan budaya.

Rombongan TYT Kentaro Sonoura disertai oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato dan Pengarah Bahagian Asia Tenggara Kedua, Jabatan Hal Ehwal Asia Tenggara dan Barat, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Jepun, Tuan Shingo Miyamoto.

Turut hadir di majlis mengadap tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd. Shah Al-Islam dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Kedua-dua majlis mengadap berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments