Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
03.04.19 Sembahyang membentuk umat bertaqwa



Keagungan peristiwa Israk dan Mikraj Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam mempunyai banyak rahsia dan hikmah yang dapat memberi kesedaran kepada umat Islam akan kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala.

Dalam memperingati dan membesarkan sejarah Israk Mikraj ini dapat mendorong kita untuk sentiasa mendekatkan diri serta meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita.

Melalui sambutan Israk dan Mikraj yang diadakan setiap tahun ini juga akan dapat mengimbas kembali keagungan peristiwa berkenaan sekali gus sebagai usaha mensyiarkan Islam sebagai ugama rasmi negara.

Bagi sama-sama meraikan sambutan tersebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini, dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Perdana Menteri, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1440 Hijrah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

Berangkat sama paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Mu'minuun ayat 1 hingga 17 yang dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), Pengiran Muhd. Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki manakala Kesimpulan Makna pula disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rasidah Sa'adatul Bolkiah (SMPAPHRSB), Lumut, Awang Haji Isyrah Sadri bin Haji Osman.

Antara inti sari ayat berkenaan ialah Allah Subhanahu Wata'ala menggariskan tujuh sifat yang baik yang membawa kejayaan dan kebahagian di dunia dan akhirat, iaitu beriman kepada Allah dan mengesakan-Nya; mengerjakan sembahyang dengan penuh khusyuk dan mengabdikan diri kepada Allah serta mengenepikan sementara segala urusan duniawi yang melalaikan, di samping memelihara lidah daripada perkataan yang sia-sia dan menjauhkan diri dari melakukan perbuatan yang mungkar dan maksiat.

Surah tersebut juga menghuraikan mengenai membersihkan hati dengan mengeluarkan zakat serta menginfakkannya kepada jalan yang benar dan memelihara kehormatan diri, di samping menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dan memelihara serta menunaikan sembahyang pada waktunya.

Orang-orang yang mengamalkan ketujuh sifat tersebut adalah layak mendapat tempat yang terbaik dan tertinggi dengan dijanjikan balasan Syurga Firdaus di akhirat dan akan kekal di dalamnya selama-lamanya di sana dengan penuh kegembiraan.

Dapatlah disimpulkan bahawa asas atau tunjang kesemua sifat yang disebutkan adalah sembahyang, maka dengan sembahyanglah akan membentuk umat yang bertaqwa.

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam sembah alu-aluannya menjelaskan, dengan mensyiarkan Islam sebagai ugama rasmi negara itu ialah memungkinkannya untuk dipelajari dan dihayati dengan betul oleh pemeluknya.

Yang Berhormat menyembahkan, kerana itulah Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melaksanakan dasar pendidikan kebangsaan yang meliputi pendidikan dan persekolahan Islam untuk memastikan Islam itu diajarkan dan dipelajari setepatnya serta didakwahkan secara berhikmah dan berhemah.

''Dengan cara itu, ia terhindar daripada disalah bawakan, apatah lagi akan sangat berbahaya jika ia dimanipulasikan sehingga menyalahi ajarannya yang sebenar sebagai ugama yang mengajarkan untuk hidup bersatu padu, aman dan sejahtera bagi sekalian rakyat dan penduduk dalam sesebuah negara,'' ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan, di Negara Brunei Darussalam berkat kepimpinan bijaksana dan berwibawa Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menikmati rahmat ajaran Islam sedemikian itu dan InsyaaAllah akan terus sentiasa menikmatinya berkat ianya diamalkan dengan baik oleh pemeluknya dan akan terus menerus disyiarkan sebagaimana dengan menyambut hari-hari bersejarahnya yang mengandungi dakwah – ajakan ke arah kebaikan serta kebajikan dan mau'izah - ingatan tentang bahaya perbuatan buruk serta amalan sesat.

Pada majlis itu, Kebawah DYMM juga berkenan mengurniakan titah.

Majlis diserikan dengan persembahan pentas bertajuk 'Kasih Ilahi' yang dibawakan oleh penuntut-penuntut lelaki Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit serta diisikan dengan bacaan Sayyidul Istighfar yang dibacakan oleh pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Tema sambutan tahun ini ialah 'Sembahyang Membentuk Umat Bertaqwa'.

Sambutan juga diisikan dengan pameran dari sembilan buah agensi kerajaan termasuk jualan buku-buku terbitan masing-masing di samping jualan hasil kraf tangan saudara baharu serta seni khat jawi.

Pameran bertujuan untuk memberi peluang kepada saudara-saudara baharu memperkenalkan hasil kraf tangan dan seterusnya memperoleh pendapatan sampingan, selain memberi peluang untuk mengembangkan kemahiran para pengamal seni khat masing-masing.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments