
Jabatan
Perdana Menteri telah mengadakan Sesi Muzakarah Jabatan Perdana
Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama Ahli-ahli Yang
Berhormat Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 2019 yang berlangsung
di Bilik Mesyuarat West Wing, Bangunan JPM, di sini.
Hadir
semasa Sesi Muzakarah tersebut ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat
Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri di
JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia
Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Menteri di JPM,
Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Elinda binti Haji C.A
Mohammad.
Manakala seramai 12
orang daripada rombongan Ahli-ahli Yang Berhormat MMN menghadiri Sesi
Muzakarah tersebut, diketuai oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Naim
bin Haji Kamis.
Sesi Muzakarah didahului dengan sesi bergambar ramai diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.
Dalam
ucapan alu-aluan Yang Berhormat Menteri di JPM Yang Berhormat Dato Seri
Setia Awang Haji Abdul Mokti antara lain menjelaskan bahawa saranan
yang diberikan hendaklah ditanai sebaik-baiknya, demi mendukung konsep
'syura' atau amalan bermesyuarat yang sangat-sangat ditekankan di dalam
Islam.
Perkara tersebut jelas Yang
Berhormat Menteri telah berkali-kali dinyatakan di dalam Al-Quran demi
mewujudkan kesepakatan pemikiran yang sekaligus akan menjuruskan semua
pihak ke arah kesatuan perbuatan / pekerjaan.
"Oleh
yang demikian, seperti yang peramba/kaola/saya nyatakan di dalam Ucapan
Penangguhan peramba/kaola/saya di persidangan MMN tahun lepas,
interaksi dan soal jawab secara dua hala atau 'two-way communication'
sebagaimana lazimnya proses 'syura' iaitu melalui perundingan,
percambahan fikiran, pertukaran maklumat dan pertukaran pelbagai idea
dari setiap sudut adalah perlu kita laksanakan agar keputusan yang kita
persetujui bersama benar-benar matang, tepat dan terarah dan yang paling
penting, keputusan yang dicapai tersebut akan mendapat reda Allah
Subhanahu Wata'ala," ujar Yang Berhormat Menteri.
Sementara
itu dalam ucapan balas Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Naim selaku Ketua
Rombongan Ahli-ahli Yang Berhormat MMN pula menjelaskan bahawa,
Ahli-ahli MMN berharap supaya dalam Perkhidmatan Awam tidak ada yang
menyalahgunakan kuasa, bagi kepentingan dirinya atau ahli keluarganya.
Apa
yang rakyat dan penduduk negara ini mahukan ujar Yang Berhormat Awang
Naim supaya warga Perkhidmatan Awam berkhidmat dengan jujur dan amanah
serta ikhlas dalam memberikan perkhidmatan kerana kuasa yang diamanahkan
perlulah digunakan dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan keberkatan
dengan mengambilkira supaya undang-undang dan peraturan-peraturan serta
dasar-dasar dilaksanakan dengan teliti dan teratur dan tidak ada pilih
kasih dan kezaliman dalam Perkhidmatan Awam.
Sesi
Muzakarah diikuti dengan penerangan ringkas daripada
Setiausaha-Setiausaha Tetap di JPM dan disusuli dengan sesi dialog di
antara Ahli-ahli Yang Berhormat MMN dan pihak JPM.
Juga
hadir semasa sesi muzakarah ini ialah Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis
Diraja Brunei; Juruaudit Agung; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan
Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah serta pegawai-pegawai kanan di JPM
dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Sumber berita Pelita BruneiSumber foto InfoFoto