Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
22.08.18 7,567 asnaf fakir dan miskin menerima pengagihan daging Korban Sunat Kebawah DYMM


Pelaksanaan ibadah korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan-Nya selain dapat melatih umat Islam dalam mengeluarkan harta bagi membantu golongan memerlukan seperti golongan fakir dan miskin 

Seperti tahun-tahun yang sudah, bagi mengimarahkan lagi Sambutan Hari Raya Aidiladha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga turut melaksanakan ibadah korban dengan mengagih-agihkan daging-daging kepada asnaf fakir miskin di negara ini.

Pada tahun ini, seramai 7,567 orang asnaf fakir dan miskin di seluruh negara menerima agihan daging-daging korban sunat tersebut.

Sehubungan itu, Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Kerabat Baginda dan Sambutan Hari Raya Aidiladha Bagi Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi diraikan hari ini di Istana Nurul Iman.

Keberangkatan Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta  kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Pengerusi Bersama dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta Kerabat Baginda dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Istana Nurul Iman Bagi Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi. 

Berangkat sama paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda  Mahkota  Pengiran  Muda  Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran  Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. 

Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Noor Ehsani serta kerabat diraja yang lain.

Sebelum majlis dimulakan, takbir Hari Raya dilaungkan oleh seramai 100 orang yang terdiri daripada wakil-wakil Jabatan-jabatan kerajaan, guru-guru ugama, mahasiswa-mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi, pasukan beruniform, kumpulan-kumpulan belia dan persatuan-persatuan.

Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dipersembahkan oleh Awang Mohd. Marzuqi bin Haji Anuar, Siswa Diploma 'Aliyah Qira'at Tahun 1, yang pernah mewakili negara ke Anugerah Antarabangsa Membaca Al-Quran Mohammed VI Kali Ke-11 di Casablanca, Magribi Tahun 2015, manakala Intisari ayat dibacakan oleh Tenaga Pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Mohd. Najib bin Haji Aliakbar.

Di antara intisari dan pengajaran daripada ayat-ayat yang dibacakan itu ialah orang yang berniat ihram untuk mengerjakan ibadah haji tidak boleh mencampuri isterinya, tidak boleh berbuat maksiat dan tidak boleh bertengkar.

Selain itu, orang yang ingin mengerjakan haji dituntut menyediakan bekal secukupnya untuk keluarga yang ditinggalkan, untuk dirinya semasa di tanah suci dan setelah kembali ke tanah air serta ditegah daripada meminta-minta.

Di antara amalan yang perlu diperbanyakkan dan diperkasa oleh umat Islam semasa menyambut Hari Raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik ialah sentiasa mengingat Allah Subhanahu Wata'ala dengan lafaz talbiah, tahmid, berdoa, bertahlil, bertasbih dalam beribadat beristighfar memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang sifatnya Maha Pengampun lagi Maha Pengasih dan berdoa kepadaNya.

Seterusnya Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri  berkenan mengurniakan daging ibadah korban kepada 100 orang penerima khas (50 orang lelaki dan 50 orang perempuan) yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin dari keempat-empat daerah.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Pada tahun ini, sebanyak 158 ekor lembu, dan 14 ekor kambing dikorbankan, dan sebahagian daging ibadah korban sunat tersebut diagihkan kepada  asnaf fakir dan miskin di seluruh negara, yang terdiri daripada ketua keluarga serta tanggungannya iaitu 4,437 orang di Daerah Brunei dan Muara, 1,613 orang di Daerah Belait, 1,258 orang di Daerah Tutong, dan 259 orang di Daerah Temburong.

Kira-kira 6000  jemputan hadir bagi sama-sama memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidiladha di Istana Nurul Iman terdiri daripada Kementerian-Kementerian, Jabatan-jabatan kerajaan, pasukan beruniform, Institusi Pengajian Tinggi dan pelajar-pelajar sekolah ugama, kumpulan-kumpulan belia dan persatuan-persatuan. 

Majlis Ibadah Korban Sunat dan Sambutan Hari Raya Aidiladha di Istana Nurul Iman adalah satu lagi wawasan Kebawah DYMM mencontohkan kepentingan meningkatkan syiar Islam dan penghayatan beragama menurut cara dan calak KeBruneian kita.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Attachments