Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
14.08.18 Waspada terhadap ancaman siber baharu

Negara mestilah berwaspada terhadap ancaman siber baharu yang sentiasa muncul, termasuklah peningkatan fraud dan pembersihan wang haram yang dilakukan melalui teknologi dalam talian, penggunaan internet dan media sosial oleh pengganas dan pelampau untuk menyebarkan propaganda mereka dan mempermudah pengambilan dan penyebaran maklumat yang salah dan kekeliruan melalui berita palsu yang akan membahayakan kepaduan sosial dan menjejaskan keselamatan negara.


Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud, selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Persidangan Ketua-Ketua Pendakwa China-ASEAN ke-11 (CAPGC Ke-11) anjuran Pejabat Peguam Negara yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun,Gadong.


Dalam ucapannya pada majlis perasmian persidangan bertemakan "Meningkatkan Keupayaan dan Kerjasama dalam Menangani Jenayah Siber" itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti menyatakan, jenayah di ruang siber terus menarik kerana sifatnya yang cepat, tanpa nama dan tanpa sempadan.


Yang Berhormat berkata, berita palsu adalah berupa ancaman yang bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga kepercayaan masyarakat antara satu sama lain.


Cabaran terbesar jelas Yang Berhormat adalah untuk menjamin kredibiliti dan kebolehpercayaan sumber maklumat dan kreativiti manusia telah dieksploitasi untuk memesongkan kebenaran dan mencipta cerita-cerita palsu dengan matlamat untuk sengaja menyesatkan masyarakat demi pelbagai kepentingan dan tujuan.


Dalam usaha untuk menentang perkara itu, Yang Berhormat Menteri di JPM menegaskan keperluan untuk pendidikan di semua peringkat mengenai penggunaan teknologi digital yang bertanggungjawab, peningkatan keselamatan data untuk menggurangkan risiko orang ramai menjadi mangsa penipuan internet serta keperluan untuk mengadakan "Collective ASEAN Way" yang melibatkan pembekal media kerana ASEAN dapat memanfaatkan pautan komunikasi yang mantap dalam memerangi penyalahgunaan data.


Yang Berhormat seterusnya menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD) terus memberikan perhatian yang amat berat terhadap ancaman jenayah siber dengan terus mengambil usaha yang signifikan bagi memastikan negara ini dan penduduknya dilindungi.


Menggariskan beberapa usaha negara, termasuk penubuhan Brunei Darussalam National Cyber Security Framework in 2017 (Rangka Kerja Keselamatan Siber Kebangsaan Brunei Darussalam pada tahun 2017) dan NBD menjadi negara pertama di rantau ini untuk mewujudkan Child Online Protection Framework (Rangka Kerja Perlindungan Talian Kanak-kanak), Yang Berhormat turut menegaskan satu rangka kerja perundangan yang kukuh dalam apa jua strategi negara dalam menangani jenayah siber adalah sangat penting.


Di samping itu, Yang Berhormat juga melahirkan penghargaan ke atas beberapa usaha Pejabat Peguam Negara dalam memerangi jenayah siber seperti penubuhan AGC Cybercrime Focus Group (Kumpulan Tumpuan Jenayah Siber AGC) dan ceramah-ceramah kesedaran awam yang berterusan yang bertujuan untuk mendidik generasi muda dan menyebarkan mesej pencegahan.


Terdahulu dalam ucapan alu-aluan majlis, Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Hj Hairol Arni bin Haji Abdul Majid, menjelaskan Pejabat Peguam Negara giat memastikan bahawa langkah-langkah perundangan yang sesuai telah disediakan untuk menangani sebarang isu yang berkaitan dengan jenayah merentas sempadan, termasuk jenayah siber dan juga memastikan pelakunya dibawa ke muka pengadilan.


Beliau menyatakan sejak tahun 2011, 14 kesalahan berkaitan dengan jenayah siber khususnya kesalahan yang berkaitan dengan media sosial seperti fitnah, menyebarkan maklumat palsu dan memuat naik media lucah dalam pelbagai platform media sosial telah berjaya didakwa di mahkamah.


Beliau juga menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara dalam menangani kes-kes kesalahan media sosial dengan adil dan berkesan, Pejabat Peguam Negara telah membuat garis panduan pada Januari 2017.


Yang Berhormat juga menjelaskan bagi membolehkan rangka kerja perundangan berkenaan dengan jenayah siber menjadi kuat dan mantap, ia perlu disokong dengan modal insan yang berkeupayaan termasuk kepentingan untuk membina kepakaran dalam usaha ini.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments