Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
21.07.18 Misi Brunei DPMM FC buru kemenangan tergendala



Misi memburu kemenangan untuk meraih tiga mata penuh tergendala apabila pasukan Brunei DPMM FC tewas 2-1 kepada pasukan Home United FC pada edisi perlawanan Liga Perdana Singapura kali ini.

Bermain di hadapan penyokong sendiri, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini, nasib pada perlawanan tersebut ternyata tidak menyebelahi skuad negara untuk menewaskan pasukan pelawat berkenaan.

Berangkat memberikan sokongan padu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Juga berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berserta kerabat diraja yang lain.

Perlawanan yang bermula kira-kira 8.15 malam itu menyaksikan aksi-aksi yang begitu mendebarkan berikutan kedua pasukan cuba untuk menggegarkan pertahanan lawan masing-masing.

Namun Home United FC berjaya membolos pertahanan pasukan negara menerusi Hafiz Nor pada minit tambahan sebelum tamat separuh masa pertama.

Belum pun panas pertempuran babak kedua, pemain pelawat jersi 17 sekali lagi berjaya merembat gol kedua mereka pada awal mula permainan.

Hasil tendangan sudut, pasukan DPMM FC akhirnya bangkit daripada kebuntuan apabila tandukan Brian McLean  tidak dapat ditangkis oleh pertahanan Home United FC.

Detik minit akhir perlawanan, kedua-dua pasukan baru mula menunjukkan taring akan tetapi ia terlambat dan akhirnya kemenangan berpihak kepada Home United FC.

Apa yang kita harapkan Brunei DPMM FC akan terus mengorak strategi yang jitu untuk terus unggul di persada Liga Perdana Singapura dalam perlawanan menentang pendahulu liga, Albirex Niigata awal Ogos hadapan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments