Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
22.07.18 Jadikan berdoa budaya, amalan hidup



Amalan saling doa mendoakan merupakan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang semestinya diikuti oleh umat Islam.

Jadikanlah amalan membaca doa sebagai budaya dan amalan hidup, lebih-lebih lagi di saat saudara-saudara kita sesama Islam memerlukan pertolongan.

Perkara tersebut antara yang dijelaskan oleh Pegawai Istinbat Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Mohamad Raimi bin Awang Tengah dalam tazkirah subuh yang bertajuk ''Mahabbah Melalui Doa'' semasa Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat', bertempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di sini.

Terdahulu Awang Mohamad Raimi menjelaskan, amalan berdoa bukanlah suatu perkara yang baharu dalam kalangan umat Islam, bahkan ia telah sebati, amat sesuai dengan Muslimin dan Muslimat sejak zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, yang mana baginda sendiri menunjukkan kepimpinan dan panduan bagaimana cara berdoa serta mendoakan.

Menurutnya, mendoakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah sama dengan mengucapkan selawat kepada baginda, yang mana berselawat merupakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala yang perlu dilaksanakan.

Tambahnya lagi, memulakan doa dengan menyebut Allah Subhanahu Wata'ala dan berselawat ke atas Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, merupakan salah satu adab berdoa dan tanpa doa kita akan tergantung-gantung.

Selain mendoakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ujarnya, kita juga perlu mendoakan ahli keluarga, para sahabat dan pengikut Baginda yang lainnya, termasuk juga mendoakan ibu bapa, anak-anak, para ulama dan guru serta mendoakan orang yang berbuat baik pada kita.

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' di Masjid Omar 'Ali Saifuddien kelolaan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama daripada JPM, merupakan satu program mingguan dan ajakan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid, seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.

Selain itu, program tersebut turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara 'Bandarku Ceria', memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

Turut sama hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Makmurnya masjid-masjid di negara ini adalah antara landasan kita bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala bagi diri kita, keluarga juga negara.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments