Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
24.07.18 Menjunjung raja berwibawa, bijaksana



Sifat kepimpinan dan keperibadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai seorang raja yang berwibawa, bijaksana dan berjiwa rakyat jelas terbukti dengan keberangkatan baginda bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-72 Tahun.

Keakraban di antara seorang raja dengan rakyat jelata pada acara tersebut melambangkan keutuhan pemerintahan beraja yang sanggup 'turun padang' untuk menatap wajah, bersalaman dan berinteraksi dengan rakyat tanpa mengira keadaan cuaca yang ada kalanya hujan, panas terik satu perkara yang jarang sekali berlaku di kebanyakan negara di dunia, namun ia sudah menjadi tradisi dan amalan bagi negara ini.

Sesungguhnya keberangkatan Kebawah DYMM merupakan peluang keemasan yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk di negara ini bagi menjunjung kasih setinggi-tingginya, menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang yang amat mendalam terhadap raja yang sangat dicintai yang sentiasa memeduli amalan berugama, kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di daerah ini.

Seperti lazimnya, Daerah Temburong merupakan daerah ketiga bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di mana rakyat berbilang bangsa melahirkan rasa syukur dan gembira bagi menantikan keberangkatan baginda bercemar duli ke daerah ini.

Suasana di sepanjang jalan menuju ke kawasan padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar dipenuhi oleh para pelajar sekolah-sekolah di daerah ini berbaris di tepi jalan dengan mengibarkan bendera-bendera kecil bagi menjunjung keberangkatan baginda serta kerabat diraja yang lain.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-72 Tahun dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Adnan bin Haji Adam selaku Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Daerah Temburong bagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-72 Tahun serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi sambutan.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Sejurus keberangkatan tiba, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dikumandangkan diikuti dengan laungan tiga kali 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' oleh penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, ketua-ketua cawangan, Ahli-ahli Jawatankuasa dan Masyarakat Daerah Temburong serta orang ramai yang hadir.

Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Adnan dalam sembah kesyukuran dan taat setia selaku wakil rakyat dan penduduk Daerah Temburong menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-72 pada tahun ini, dan berdoa semoga baginda dilanjutkan usia, sihat walafiat, kekal karar memerintah di atas takhta singgahsana Kerajaan Negara Brunei Darussalam dan sentiasa di dalam rahmat serta pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Keberangkatan Kebawah DYMM ke Daerah Temburong sembahnya adalah saat yang sangat-sangat dinantikan oleh rakyat dan penduduk daerah ini di mana ia adalah merupakan peluang keemasan yang tidak ternilai harganya untuk beramah mesra dengan Kebawah DYMM, raja yang dikasihi dan yang pemedulian kepada rakyat jelata.

"Alhamdulillah dengan kebijaksanaan kepimpinan Kebawah Duli Tuan Patik, semua rakyat dan penduduk telah dapat menikmati pembangunan, kemajuan dan keselamatan yang ketara terhadap perkembangan negara secara umumnya dan InsyaaAllah akan meningkatkan lagi kesejahteraan dan keselesaan kepada seluruh rakyat serta penduduk di Daerah Temburong ini secara khususnya dengan taufik, hidayah dan rahmat Allah jua," sembahnya.

Kebawah DYMM berserta kerabat diraja seterusnya berkenan menyaksikan Persembahan Khas bertemakan 'Raja Prihatin, Mahkota Rakyat' yang disertai oleh lebih 300 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

Seterusnya baginda berserta kerabat diraja dijunjung bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi, Jawatankuasa Perayaan, penghulu-penghulu, peserta-peserta Persembahan Khas dan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan serta rakyat dan penduduk Daerah Temburong.

Lebih 3,000 rakyat dan penduduk Daerah Temburong memenuhi khemah-khemah yang disediakan bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah terdiri daripada penduduk-penduduk Mukim di Daerah Temburong, warga emas, Pengawasan Kejiranan, pasukan-pasukan beruniform, Badan-badan Bukan Kerajaan serta pihak swasta.

Pada Majlis Junjung Ziarah itu, Kebawah DYMM juga berkenan menerima beberapa pesambah yang disembahkan khas sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-72 Tahun.

Kemudian Kebawah DYMM berserta kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Utama di Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

Pada majlis itu, Kebawah DYMM juga berkenan memotong Kek Hari Keputeraan dan menerima pesambah yang disembahkan khas sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Baginda Ke-72.  

Doa selamat dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Awang Mohammad Shah bin Haji Taip.

Sebelum berangkat balik meninggalkan majlis, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan jemputan-jemputan khas.

Kehadiran ribuan rakyat dan penduduk seawal jam 7 pagi itu, menunjukkan rasa kesyukuran, penghargaan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis baginda atas kepimpinan, kewibawaan dan kebijaksanaan yang telah menjamin suasana dan keadaan negara yang makmur, selamat, aman damai dan tenteram. 

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments